Selamat datang dan salam sejahtera...!
Semoga aura haruman kasturi dari Raudah Firdausi sentiasa bersama kita...

Thursday, December 17, 2009

Wahai Tuhan...!

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekelian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu Penghulu kami, Nabi Muhammad S.A.W dan ke atas Keluarganya dan Sahabatnya sekelian.

Ya, Allah...! Apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya, dan tidak Engkau melupainya, dan Engkau berlemah lembut ke atas kami, walaupun Engkau berkuasa atas menyiksakan kami, malah Engkau memberi kami peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat atas Engkau...!

Maka. sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya, dan Engkau telah janjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai Tuhan yang Mulia, Yang mempunyai Kebesaran dan Kemulian, semoga Engkau menerima daripada kami, dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau, Wahai Tuhan Yang Mulia...!





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekelian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu Penghulu kami, Nabi Muhammad S.A.W dan ke atas Keluarganya dan Sahabatnya sekelian.

Ya, Allah...! Engkaulah yang kekal, qadim dan azali dan atas Kelebihan Engkau yang Besar dan Kemurahan Engkau yang Melimpah, dan inilah Tahun Baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya, dan kami memohon pertolongan atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan, dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau...!

Ya, Allah...! Tuahan yang mengubahkan segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau, Wahai Tuhan yang Maha Keras lagi Maha Tinggi...!

Wahai Tuhan kami...! Kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagian di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka...!





Selamat tinggal 1430 Hijrah dan selamat datang 1431 Hijrah...! Semoga tahun-tahun yang telah berlalu mendapat ihsan keampunan daripada Allah S.W.T...! Dan semoga kehidupan Tahun Baru Hijrah ini sentiasa diberkati dan dipelihara daripada syaitan durjana...!

Wahai Tuhan..., bantulah kami untuk menjadi hambaMu yang benar-benar diredhai...! Amin..., Amin..., Amin..., Ya Rabbal'alamin...!

Sunday, November 22, 2009

Hikmahnya Berhijrah.

“Cikgu..., Nabi Muhammad pun berhijrah! Mungkin ada lebih baiknya..., lagipun ini satu peluang! Sebenarnya ini tanda pengiktirafan Allah atas keikhlasan Cikgu mengajar anak-anak murid”. Terkedu aku mendengar ayat yang terpancul keluar dari mulut Che Mah, isteri Encik Din YDP PIBG SKJ.

Katanya itu menjadikan aku benar-benar berfikir. Benar..., Nabi Muhammad pun berhijrah. Walaupun Mekah itu tempat lahirnya, tempat ayah ibu dan tempat nenek moyangnya bertapak. Bumi Mekah jugalah yang menyaksikan derita hidup suka duka sehingga beliau menjadi Nabi dan Rasul, mengapa pula Nabi tinggalkan dan pergi begitu saja? Ya, demi menyambut seruan hijrah, Nabi pergi ke Madinah dengan penuh redha...! Tapi itu Nabi Muhammad, bukan aku. Adakah keperluan aku seperti keperluan Nabi berhijrah? Tidak..., jauh sekali....! Tapi apabila diarahkan kepadaku sudah tentu telah diizinkan Allah berlaku, mengapa tidakku ambil semangat yang dimiliki RasululLah untuk berhijrah?

“Ha.. aa ..., betul kata Che Mah tu, mengapa takut berhijrah? Sedangkan dunia ni pun mesti kita tinggalkan kalau dipanggilNya nanti...! Inikan hanya tempat bertugas, masakan kita tak boleh berubah? Mesti ada hikmahnya...kan...! ”

Aku betul-betul tersentak dari buaian keselesaan berada di SKJ selama 17 tahun. Bermula dari 16 Jun 1992, selepas 5 tahun berada di SRK Convent, aku rasa pengalaman di SKJ terlalu banyak suka dukanya! Sudah dua Guru besar yang pencen dan seorang lagi pun akan berpencen sepanjang perkhidmatanku di SKJ. Daripada sekolah yang tidak dikenali, sehinggalah kini amat dikenali di Daerah Kinta, kususuli detik-detik kejayaannya saban tahun...!

Menggarapi perjalanan anak-anak SKJ sehingga sudah ada yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk bertugas sama mengajar di SKJ, menjadikan aku begitu sayang dengan bumi SKJ. Lebih-lebih lagi dengan keakraban bersahabat, berkongsi setiap masalah, mengharungi pelbagai suka-duka bersama warga SKJ, menjadikan aku tidak mudah melupakan kemanisan saat itu! Saat yang mematangkan pengalaman seorang guru, tetap segar dalam memori hidupku!

Tapi, takdir Allah telah menentukan! Bukanku cari, cuma mengambil peluang yang diberi... Kadang-kadang keselesaan yang dikecapi boleh menjadikan kita kurang bermotivasi! Kita leka dan lalai dengan keselesaan itu sehinggakan kita lupa nikmat disebaliknya! Oleh itu, aku mesti pergi jua, pergi mengikut arahan, pergi apabila Allah menghendaki dan pergi menerima cabaran tugas yang tidakku ketahui bebannya...! Hadapilah dengan tenang dan redha meskipun banyak terdengar ayat-ayat negatif berkaitan dengan tugas baru.

“Jadi PK ni nanti akan sentiasa tension...! Terpaksa suruh dan marah orang aje. Kena urus program, kena pastikan fail yang lengkap dan kemaskini, kena hantar laporan dan analisis, kena pantau dengan PPD dan JPN dan macam-macam lagi yang akan kena...! Sanggup ke berada di tengah kutukan guru dan Guru besar?”

“Ala..., selama ni pun sebagai Ketua Panitia berat juga tugas, boleh je buat.... Program, fail, laporan dan analisis sentiasa je update.... Tak ade masalah pun! Kalau nak kena pantau, jadi cikgu biasapun kena pantau juga! Bukan ke, setiap program tu ada AJKnya, biar merekalah yang uruskan. Sebenarnya tugas PK memantau kerja cikgu, bukannya PK pulak kena buat...!” Kata-kata suami yang begitu menyokong dan ini menaikkan semula semangatku untuk berhijrah!

Hari-hari awal aku di SKSK, terasa juga kelainannya. Ya, kelainan yang begitu berbeza dengan kebiasaan tugas di SKJ. Walaupun ruangan kereta sempit, tetapi tempat parking khas untuk PK telah tersedia berbanding semasa di SKJ, tempat parking berbumbung terpaksa diundi.
Masuk ke pejabat pula, aku ditempatkan dalam sebuah bilik yang selesa, lengkap dengan komputer, printer dan internet! Terasa janggal juga kerana sebelum ni tempat dudukku terpaksa berkongsi dengan guru petang di SKJ. Hai, inilah mungkin hikmah pertama aku berhijrah!

Melihat suasana sekolah yang tenteram kerana muridnya sedikit dan bilangan stafnya seramai 30 orang sahaja, begitu terasa ketenangannya! PK- PK lain termasuk Guru besar yang pernah menjadi PK kusemasa di SKJ begitu serasi denganku. Mungkin kerana semuanya perempuan dan mereka ini lebih tua dan banyak pengalaman, ini memudahkan aku belajar dengan mereka. Kak Son, PKKK SK Methodist pernah bertanya, apa doaku boleh dapat ke SKSK yang rupanya dia dah lama berhajat hendak masuk.

Hari-hari berlalu dengan penuh saspen kerana aku bimbang dengan tugas yang mendatang, tapi biasa aje... Cuma kadang-kadang datang surat dari PPD yang memerlukan aku ambil tindakan. Banyak masa berlalu begitu sahaja kerana jadual mengajarku hanya lapan waktu sahaja berbanding 28 - 30 waktu di SKJ...! Kadang-kadang sampai boring tapi nasib baiklah ada komputer yang membantuku mengemaskini fail-fail dan membolehkan kumerancang takwim untuk tahun kehadapan.

Semua program sekolah mestiku hadiri. Kekok juga rasanya bila disuruh berucap, tapi itukan kerja guru..., alah bisa tegal biasa! Kadang-kadang Guru besar pinta mewakilinya ke majlis di sekolah luar... Alamak, segan jugak! Tapi kenalah biasa-biasakan...!

Yang paling tak seronoknya, apabila diminta memantau guru-guru mengajar! Aduhai..., semasa jadi cikgu biasa dulu, masa ni lah yang aku paling tak suka! Akupun tak tahu, mengapa aku tak suka walaupun sudah lebih dua puluh tahun mengajar! Mungkin kerana merasakan diri terkongkong dengan disiplin murid yang dibuat-buat, bukan ori...! Bahagianya mengajar apabila dapat bebas memberi ilmu mengikut cara sendiri yang berhasil membuahkan kejayaan cemerlang pelajar! Kepuasan menikmati kejayaan murid ialah dengan kesungguhan dan keikhlasan mengajar, bukan sengaja mengatur untuk dipuji dan diberi markah tinggi oleh orang lain.! Tapi inilah prosedurnya yang mesti diikuti... Dapat bayangkan betapa tensionnya cikgu-cikgu apabila diberitahu aku akan menyelia mereka kerana aku dulu pun begitu! Apapun..., aku kena belajarlah jadi pentadbir walaupun terpaksa menyelia guru opsyen yang tidak sama denganku termasuk BI, BA, SN dan MT...! Kelakar jugak..., kalau tak faham pun..., buat-buat faham je.. le...!

Kerana tugas PK terpaksa mentadbir dan mengurus, aku tidak diberi mengajar mata pelajaran teras. Aku hanya diminta mengajar dua waktu PSV dan enam waktu PM Tahun 6. Yang seronoknya murid PM hanya seorang aja...! Pelik juga, aku ingat sekolah ni tentu ramai murid Moral tapi rupanya kurang. Murid ini akan datang ke bilikku untuk belajar PM. Hanya seorang, kadang-kadang aku suruh dia cari maklumat internet di komputer je.. Tak payah nak fikir buat soalan setiap bulan, hanya dua kali setahun aje... Itupun hanya print aje dari komputer. Hai, jauh bezanya semasa di SKJ dulu, mana nak fikir buat dan memeriksa kertas soalan, dengan JUSA, PLBS, Program Panitia dan tugas guru kelas juga terpaksa ditanggung...! Hm..mm.. rasanya inilah antara hikmahnya berhijrah...!

Tiba masa buat program pula, rasanya tak ada masalah. Setelah bermesyuarat, AJK dibentuk, program dapat dijalankan dengan jayanya. Alhamdulillah, Program Bulan Kecergasan dan Bulan Patriotisme berjalan lancar! Walaupun aku masih baru, tapi kerjasama guru-guru di sini amat aku hargai. Kesungguhan dan komitmen guru-guru di SKSK ini amat kukagumi kerana mereka sebenar terbeban dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab tetapi tidak melakukannya hanya melepaskan batuk ditangga sahaja.

Banyaknya aku belajar apabila berpindah ke sekolah baru ini. Lebih-lebih lagi setelah menyelami latar belakang murid-murid di sini. Sesuatu yang baru...! Tidaklah kusangka, di tengah-tengah bandaraya Ipoh ini, aku menemui fakta yang tidak terjangkau dek kotak pemikiranku! Sebelum ini, aku beranggapan murid-murid SKSK lebih kurang murid-murid SKJ tapi..., inilah hikmahnya berhijrah! Allah beri aku pengalaman dan pengetahuan baru yang tidak terfikir sebelum ini... Betul....., berhijrah adalah Sunnah Nabi, kalau kita ikuti dengan ikhlas dan redha sudah tentu banyak hikmahnya! Apakah lagi hikmahnya...? Ada..., tunggu posting seterusnya, InsyaAllah!

Friday, November 13, 2009

Sahutlah Seruan Azan...!

Astaghfirullah 'al azim..!

Alangkah berkatnya hidup kamu jika dpt menyebarkan email ini kpd semua kwn2 yg ada..amin

SETIAP KESABARAN AKAN DIGANTI DENGAN KEMENANGAN,
SETIAP KEDUKAAN AKAN BERGANTI DENGAN KEBAHAGIAAN,
SETIAP PERPISAHAN PASTI BERMULA DENGAN SATU PERTEMUAN,
SETIAP YANG BERAKHIR AKAN BERTUKAR DENGAN SUATU PERMULAAN,
SETIAP KEJADIAN TUHAN PASTI ADA HIKMAHNYA...!

Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu.
Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...!

Allahu Akbar!!

ADAB MENDENGAR AZAN
Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa..?Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ' sakaratul maut' ...!
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya". Ini jelas menunjukkan kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang .
Sebagai orang beragama Islam Kita wajib menghormati azan Banyak fadhilatnya . Jika lagu
kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan Kita tidak boleh mendiamkan diri?

Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah", yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dengan izinNya menjanjikan Syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah", semasa sakaratul maut menghampiri kami.. Amin... amin.. amin Yarobbala'lamin. .'

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran ku ini.

Subhanallah. ..

Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah. 'Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia . Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.Belumpun laungan Azan di merata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia.Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh.Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan.Belum berakhir di Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dila ungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman , Kuwait dan Iraq .

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.Jarak masa Azan mula dila ungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dila ungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus-putus.

Allahu Akhbar!

Kita boleh mengirimkan ribuan 'jokes' dan ' surat berantai' melalui e-mail tetapi bila mengirimkan yang berkaitan dengan ibadah seringkali berfikir 2 atau 3 kali......FIKIRKAN LAH, tepuk dada tanya iman...!

Thursday, September 24, 2009

Minal Aidin Wal Faidzin



Sempena hari yang mulia ini, ampun dan maaf atas ketelanjuran tingkah dan kata terutama kepada suami yang tercinta, kedua ibu bapa termasuk ibu bapa mertua yang dikasihi, anak-anak tersayang , saudara mara, sahabat handai, teman taulan, anak-anak murid dan jiran tetangga.

Sunday, September 20, 2009

Gamitan Bumi Anbiya'

Selasa, 5 Mei 2009

Ammar dapat surat matrikulasi (Sains) Gopeng. Daftar 11 Mei 2009. Risaunya hati kerana UPU belum lagi keluar. Dapat pula surat UPU, Saspennya…, redho je lah.. , Bidang Sains Hayat UM…! Daftar 24 Mei 2009. OK ke…? Hatiku cuak juga kerana…, habislah…, tahfiz yang 5 juzuk sudah dihafaznya…, tinggallah…, bahasa Arab yang hampir mantap diperolehinya…! Kalau masuk kat UM nanti, sudah tentu saingannya hebat-hebat belaka! Tambahan pula apabila tahun pertama nanti ramai murid bukan Melayu sudah ada pengalaman 2 tahun STPM…! Tengok Ammar relek je…! Ala…, budak terbaik KISAS pun dapat kat situ, Ummi! Hanya Tuhan yang tahu doa aku ketika itu…. Semoga ada yang lebih baiknya…!

Jumaat, 8 Mei, 2009

Berdebar menanti keputusan JPA Online samada nama Ammar tersenarai berjaya atau tidak! Tapi naluri keibuanku tetap mengatakan Ammar dapat…, kerana aku yakin kalau hati kita ikhlas untuk menuntut ilmu dunia akhirat, pastinya Allah beri…! Ya, syukur Alhamdulillah, Ammar berjaya akhirnya…, biasiswa JPA dalam pengajian bidang perubatan di Mesir! Terima kasih ya Allah…, kerana aku tahu perancanganMu lebih baik daripada perancangan hambaMu…! Apa yang pasti, aku harapkan Ammar dapat menyambung semula hafazannya di sana nanti, InsyaAllah…!

Beritahu kedua-dua Datuk dan Opah. Atuk Amat menangis gembira. Opah Jeton tak sabar-sabar nak buat kenduri di kampung…! Begitu juga dengan Atuk Din dan Opah Mah, hari-hari datang meraikan cucu-cucu kesayangan mereka. Lihatlah anak-anakku, betapa bangganya mereka…! Betapa kasih dan sayang Atuk Opah kepada kamu semua…!

Ahad, 17 Mei, 2009

Menghantar Ammar ke INTEC, UiTM, Shah Alam mengikuti persedian 3 bulan ke Mesir! Hari ini ialah hari pendaftaran persediaan pelajar-pelajar tajaan kerajaan (JPA, MINDEF, Bank Negara) pengajian ke Timur Tengah. Jumpa pengetua (Aisyah) SMKASAS, juga menghantar anak perempuannya pelajar terbaik SPM’08 SBI Gopeng.


Jumaat, 29 Julai, 2009

UiTM cuti seminggu kerana selsema H1N1. Dapat tahu tarikh penerbangan dan akhir Ammar di INTEC. Bincang-bincang…, akhirnya kebetulan untuk sambut puasa, satu majlis kesyukuran diadakan pada malam Ahad (15 Ogos, 2009) seminggu sebelum puasa. Kesian Kak Yong dan Ammar terpaksa balik ke Ipoh kerana aku mahu orang yang diraikan dan semua anak-anakku hadir walaupun besoknya terpaksa balik semula.

Sabtu, 5 September, 2009

Ammar mula bercuti seminggu sebelum berangkat. Aduhai…, Cuma seminggu lagi…, banyaknya barang dia yang belum dibeli, terutamanya pakaian, peralatan peribadi dan katanya senior pesan makanan kering (rempah ratus). Alahai…, Boleh ke Ammar masak ni…? Beli je… le…! Beransur-ansurlah Ammar belajar! Kalau tak tahu nanti YM lah dengan Ummi. Seronok juga, apabila Ammar mula minat nak belajar masak ni. Senanglah Ummi bila balik nanti…, boleh rasa nasi dan kari Arab… he… hee…!

Seminggu Atuk Amat, Opah Jeton dan adik beradikku berkampung di rumah. Semua mereka bangga dan meraikan Ammar! Walaupun Ammar dapat biasisiswa dan peruntukan awal dari JPA, pelbagai sumbangan yang diterima termasuk beg besar dari Maksu Dhirah. Makanan dan wang ringgit dari semua saudara mara, sahabat taulan termasuk dari jemaah masjid yang kalau dijumlahkan hampir empat ribu ringgit! Terima kasih kepada yang memberi…! Mudah-mudahan dapat Ammar manfaatkan dan menjadi keberkatan kepada semua.

Ahad, 13 September, 2009

Bertolak ke KL termasuk Atuk Amat dan Opah Jeton. Anas dan Aisyah juga suami ambil dari asrama. Padaku, walaupun tiada nampak kelebihannya apabila adik-adik turut serta, tetapi ketahuilah anak-anakku…, Ummi punya alasan tersendiri! Biar mereka rasa susah payah, penat lelah, letih mengantuk, gembira seronok bersama, yang sebenarnya inilah nostalgia adik beradik yang akan menjadi indah untuk dikenangi…! Satu lagi, pengalaman ini sebenarnya menjadi penggerak dalaman yang tidak kalian sedari…!

Bertolak ke KLIA dari rumah Ata (adik suami) pukul 11.30 malam. Ata beri kamus, baju sejuk, dan seratus ringgit mata wang Mesir disamping sejumlah wang Malaysia yang telah diberikannya sebelum ini. Terima kasih Ata dan Su yang sentiasa mengambil berat dan memberi sokongan kepada pendididkan anak-anakku.

Isnin, 14 September, 2009

Lebih kurang 250 pelajar-pelajar cemerlang SPM’08 yang akan ke Timur Tengah (Jordan dan Mesir) tajaan kerajaan dalam pelbagai bidang beserta keluarga masing-masing memenuhi ruang legar terminal di KLIA…! Ramainya ahli keluarga, termasuk anak-anak kecil, datuk dan nenek serta sahabat handai meraikan mereka.

Aku dan suami sempat berjumpa dengan kawan-kawan yang pergi bersama Ammar dan Naqib usrahnya di INTEC yang juga turut menghantar. Kuucapkan terima kasih dan Ammar memberi sedikit cenderahati kepadanya. Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana dia ada link dengan senior-senior di Mesir, minta tengok-tengokkan Ammar. Lagipun, teman sebilik Ammar, Khuzaifah Fadhil pelajar lepasan Maktab Mahmud, Alor Setar, memang sesuai dan sejiwa dengan Ammar. Harap-harap begitulah nanti…, InsyaAllah…!

Dalam leka berbual dengan kawan-kawan Ammar, ternampak Nik Nur Madihah bersama keluarganya. Menurut Ammar, dia bukan dapat biasiswa, tetapi diberi hadiah oleh Bank Negara yang tidak tertakluk dengan apa-apa syarat…! Bertuah betul jadi orang pandai…! Itulah kelebihan orang yang ada ilmu, wahai anak-anakku…! Aku pergi berjumpa dan sempat ambil gambar, tapi terlupa pulak bergambar dengannya…!

Tetapi emak, Opah Jeton yang bangga dapat bergambar dengan keluarga pelajar terbaik Kebangsaan itu!

2.00 pagi - Ammar diminta beratur mengikut negara samada Mesir atau Jordan. Diberi pelekat, ditimbang. Alamak..., lebih dua kilogram daripada tiga puluh kilo pun tak boleh! Terpaksa keluarkan Vico 2 kg daripada membayarnya sebanyak RM180.00. Syukurlah tadi dah keluarkan buku-buku yang tebal dan berat ke dalam beg bimbit, rupa-rupanya lebih juga…! Cakap kat Ammar bawa juga, kalau kena tahan nanti, sedekahlah Vico tu pada pengawal kat situ!

4.00 pagi - Saat berpisah sudah tiba. Aku tidak cakap banyak cuma, ingatlah segala pesanan dan harapan Ummi…! Ayahnya pun memesan begitu…! Belajarlah sungguh-sungguh anakku. Pastikan balik nanti dapat ilmu yang lengkap dunia dan akhirat. Teruskan tahfizmu… dan jaga akhlak sahsiahmu.! Jangan mudah terpengaruh dengan dunia remajamu…!

Atuk Amat dan Opah Jeton yang keletihan pun nampak segar memesan dan memeluk Ammar. Kak Yong dan adik-adik mengucapkan selamat dan harapanku, mudah-mudahan aku akan hantar lagi anak-anak yang lain!

Ammar kemudiannya dipanggil untuk taklimat penerbangan yang diketuai oleh beberapa orang pegawai JPA yang akan menguruskan hal ehwal mereka. Kami terpaksa tinggalkan Ammar yang akan terbang lebih kurang pukul 6.00 pagi nanti kerana nak cari tempat bersahur…!

4.30 pagi - Kami keletihan, mengantuk dan penat tapi mesti bersahur. Syukur Chu Mi (adik Abah) setia menunggu sehingga selesai. Chu Mi bekerja di KLIA tetapi sebenarnya sedang bercuti…! Terima kasih Chu Mi kerana banyak membantu kami. Selesai bersahur di sebuah restoran, kami terus ke Cheras menuju ke apartment Kak Yong.

7.00 pagi - Berehat sekejap, Kak Yong ajak ke Long Yat nak beli printer. Beli printer Canon Pixma (MP145) tiga dalam satu sebanyak dua set, seksa juga nak bawa balik tapi kerana memikirkan murah dan kemudahan dikemudian hari, terpaksalah kuriba printer itu sehingga ke Ipoh.

4.00 petang - Dapat SMS dari Ammar, dia dah tiba di Jordan. Kami baru keluar untuk pulang ke Ipoh tapi masih tersangkut sekitar KL…! Jem teruk…, lebih-lebih lagi suami tersilap lorong dan jalan…!

10.00 malam - SMS dari Ammar, dia dah selamat tiba di Qairo. Disambut oleh senior dan ditempatkan di Malaysia Hall Abbasiyyah, Kaherah menjalani orentasi seminggu. Lepas raya baru pergi ke rumah sewa dan universiti masing-masing…!

Semoga gamitan bumi Anbiya' ini menjadi tapak awal Ammar dan keluargaku kembara menjejaki susah payah dan jerih perih para Nabi menyampaikan kebenaran risalah Allah…! Semoga langkah Ammar menjadi permulaan kepada anak-anakku yang lain menyahut gamitan bumi Anbiya' yang banyak sejarahnya, InsyaAllah…!

Saturday, September 12, 2009

Indahnya Saat Bersahabat Tetapi…….!

Assalamu’alaikum…! Aku menoleh sambil menjawab salam yang diberi, seorang perempuan sebaya aku tersenyum bertanyakan katil kosong di sebelahku!

Zaleha binti Abdul Ghani, begitu dia memperkenalkan dirinya. Kecil molek orangnya, wajahnya mirip perempuan cina, nampak ceria dan begitu teruja gaya suaranya. Tidakku sangka kerana dia rupanya orang Ipoh, Rapat Setia. Mengapa selama ini aku tidak pernah berjumpa dengannya? Sepanjang aku berkursus dulu pun tak pernah jumpa. Begitu juga dengan Kak Minah, seorang lagi kenalan yang baru tiba, juga orang Rapat Setia. Menurut Leha, mereka berdua pun tidak pernah mengenali satu sama lain semasa di Ipoh. Jodoh dan pertemuan itu Allah yang menentukannya!

Kemudian, sampai pula seorang lagi teman, Fatimah dari Sungai Petani, Azlina dan Mak Lang dari Alor Setar serta seorang lagi dari Perlis, Asyikin! Lengkaplah tujuh orang kami sebilik, makan, minum, tidur, baring, beribadah, berkongsi suka duka selama 40 hari menunaikan fardu haji di Tanah Suci, kota Mekah.




Ketika itu, lagi seminggu tibanya Hari Wuquf di Arafah… Masing-masing sibuk menjaga pantang larang semasa ihram kerana kami semua melakukan Haji Ifrad. Pergaulan kami terbatas kerana kami pergi ke Masjidil Haram bersama suami masing-masing kecuali Kak Minah yang kematian suami bersama anaknya Hafiz, dan Mak Lang bersama suaminya yang sudah lanjut usia (lewat 70an).

Kesian Mak Lang, kerana Pak Lang sudah tidak mampu mengurus diri sendiri! Pak Lang seperti kehilangan isteri dan sentiasa mencari dan memanggilnya. Akhirnya, atas daya usaha suamiku, Mak Lang dan Pak Lang dapat tinggal satu bilik berhadapan bilik Tabung Haji. Kami sentiasa menjenguk dan menghantar makanan serta memastikan ibadah Mak Lang sempurna!

AlhamdulilLah, selesai ibadat haji di Mekah, kami semua ke Madinah. Kami masih juga bersama, cuma tidak dapat satu bilik. Kemesraan hubungan tetap terjalin menjadikan kami lebih akrab. Kerana aku masih sebilik dengan Leha, kami berazam masuk ke Raudah berulangkali. Peluang dan kesempatan ini kurebut sebaik mungkin.

Leha seorang yang ceria. Seorang periang, yang kufikir tiada apa masalahnya. Walaupun sikapnya yang suka berterus terang, tidak pandai menggunakan ayat bersastera, terus kepada tajuk tetapi perbualannya amat menghiburkan! Gelagat dan tutur katanya, lincah menjadikan suasana kami lebih ceria.

Balik ke Malaysia, kami mengatur pertemuan. AlhamdulilLah, kami dapat berkumpul semula sebulan kemudian bersama dengan keluarga masing-masing. Kebetulan kami semuanya sebaya, anak-anak kami pun sebaya umur kecuali Mak Lang dan Kak Minah. Mereka dapat berkenalan satu sama lain dan yang penting kami dapat menghubungkan silaturrahim.

Aku dan Leha menjadi begitu rapat kerana kedua-dua kami berprofesion yang sama. Lagipun, dia ini seorang yang aktif termasuk berniaga. Dia rajin ke sana sini untuk mendapat bekalan perniagaan. Aku kalah dengannya apabila terlalai menghubunginya…, sehinggalah pada suatu hari dia menelefonku…., “Hang ni…, aku je yang telefon. Kalau aku tak telefon, mati pun hang tak tau…!” begitulah tajam jeritannya di hujung telefon. Aku mengaku, itulah kelemahanku…! Bukan sebab tidak ingat sahabat tetapi kadang-kadang bimbang mengganggu atau menyusahkannya. Sepatutnya aku tidak fikir begitu… Kebenaran kata-katanya terbukti apabila diberitahu bahawa dia sedang bercuti tiga bulan…, selesai pembedahan kanser payu dara peringkat kedua…! Oh, Tuhan...! Alangkah terkejutnya aku…! Kupinta, dia redha dan pasrah menerima ketentuan ini!

Aduhai..., sungguhpun begitu..., kudengar suaranya masih ceria. Begitu juga sewaktu aku pergi menziarahinya… Dia tampak segar dan becok bercerita hal anak-anak dan kawan-kawan! Aku kagum dengan ketabahannya! Ceritanya dia baru bercuti di Pulau Redang bersama keluarga, habis beribu ringgit tetapi dia puas bergembira bersama keluarga! Betul..., duit boleh dicari, masa bersama keluarga akan berlalu jika tidak direbut!

Seminggu berpuasa, aku mendapat telefon dari Hafiz memberitahu Leha tenat..! Terkejutnya aku, lantas menziarahinya di hospital. Ya, memang tenat kerana menurut doktor separuh badannya telah dipenuhi virus. Nasi sudah menjadi bubur, jangka hayatnya hanya tiga, empat hari sahaja! Masalahnya, kerana badannya yang kecil molek rupanya dia tidak pergi kimoterapi, katanya cuba perubatan alternative! Aku memeluknya, membisikkan kata-kata semangat, bersabarlah… Allah tahu kamu mampu menghadapinya, sahabatku! Dia mengangguk dan meminta diambilkan air sembahyang, hendak solat Zohor apabila diberitahu telah masuk waktu! Memang dia kuat…, tabahlah sahabatku!

Kuhubungi kawan-kawan yang lain, sempatlah mereka menziarahinya, membaca Yasin dan mendoakan kesejahteraannya. Akhirnya…, telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami… Pada tanggal 3 September 2009 (13 Ramadhan 1430H), kembalilah sahabatku ke RahmatulLah lebih kurang pukul 4.30 petang. Pergilah sahabatku…, kami tetap menyusulimu nanti! Semoga kau bahagia di sana menunggu kami semua, InsyaAllah! Indahnya saat bersahabat…., tetapi Allah lebih mengasihimu!

Aku teringatkan kelincahannya, apabila sempatku balut kakinya dengan kapas putih bersama Kak Minah. Gurau senda dan senyum tawanya amat pilu untukku kenangi! Sayunya hati melihat Zahid, anak bungsunya baru darjah tiga yang tidak pernah lekang dari sisi ibunya! Begitu juga anak-anaknya lain yang tidak henti-henti membacakan Yasin. Berderai air mata memeluk Maisarah, satu-satu anak perempuannya mengenangkan lagi tiga hari akan menduduki peperisaan UPSR!

Kubisik ke telinga Maisarah, “jangan lemah semangat, buat yang terbaik, ingat pesan dan harapan ibu, tunaikan hasrat ibu, jadilah anak yang soleh, anak yang melakukan kebaikan yang ibu ajarkan! Ibu akan bahgia apabila anak-anaknya mengamal kebaikan yang diajarkan. Kita semua akan ke sana, Cuma cepat dan lambat sahaja. Redhakan ibu pergi dahulu! Kuatkan hati, hidup mesti diteruskan, cekalkan semangat!” Suaraku tenggelam dek kesedihan yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Kata-kata ini, sebenarnya untuk memujuk hatiku juga kerana keakraban bersahabat menjadikan aku sentiasa teringatkan keriuhan dan gelak tawanya yang tanpaku duga, janji Tuhan telah tiba untuk menjemputnya! Pemergianmu, benar-benar menyedarkan kelalaian dan kealpaanku tentang kematian…! Semoga kau bahagia di dalam rahmat Allah…, sahabatku!

Tuesday, September 8, 2009

Rayuan Keinsafan


Tuhan....ku!
Aku tidak layak untuk... surgaMu!

Tetapi...,
aku tidak kuat menanggung...,
siksa nerakaMu!

Oleh itu,
kurniakanlah...,
ampunan kepadaku...,
Taubat dari dosaku!

Sesungguhnya...,
Engkau...lah Pengampun...
Dosa-dosa besar....!
* Doa Munajat seorang hamba yang terlalu kerdil dan banyak dosa....!

Friday, August 21, 2009

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W.

KHUTBAH HAJI WIDA'
9 Zulhijjah 10 Hijrah
Lembah Uranah, Gunung Arafah.
"Wahai Manusia!
Dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui, apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai Manusia!
Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah, sesungguhnya kamu akan menemui Tuhanmu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia!
Sebagaimana kamu punyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak atas para isteri kamu, maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia!
Dengarlah bersunggu-sungguh kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekira kamu mampu. Ketahuilah, setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorangpun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh!
Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawab atas apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai Manusia!
Tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai Manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku!
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah, ya Allah... bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu!"
Sedutan dari dari frame cenderahati warga SKJ,
Khutbah Haji Wida'. JazakumulLah Khairan Kathira...!

Wednesday, July 29, 2009

Terima Kasih Atas Ingatan!

Hari ini cikgu buka dan baca e-mel. Rasa terharu atas ingatan murid-murid cikgu! Terima kasih atas ingatan kamu semua. Cikgu minta maaf kerana tidak membalasnya! Cikgu ingin balas tapi, cikgu tak mampu...! Tak perlulah cikgu ceritakan sebabnya, cukuplah sekadar cikgu katakan cikgu amat sayang dan rindukan kalian semua. Semoga kalian bahagia dan sentiasa berjaya! Antara e-mel yang menyentuh hati,

"Assalamualaikum, cikgu.Saya anak murid cikgu kelas 4 Teratai. Nama saya Nazura Syafiqah binti Roshidi. Saya amat sedih kerana cikgu tidak akan mengajar kami lagi. Kepada saya, cikgu Masitah je yang hebat dari guru-guru yang lain. Cikgu baik hati dan cikgu selalu buat kami semua gelak.
Lagi satu, CIKGU MASITAH AHMAD IS THE BEST BETWEEN THE OTHER TEACHERS!!! MEMANG CIKGU MASITAH 100% BEST OF THE BEST!!! Walaupun cikgu dah tak dapat jumpa kami, kami masih boleh ada contact dengan cikgu.
Cikgu, terima kasih kerana mendidik kami dengan baik. Agar kami akan jadi orang yang berguna terhadap orang ramai. Memang terima kasih banyak-banyak.Kami semua tak nak cikgu pergi tetapi begitulah hidup. Saya tulis surat ni, tak boleh tahan air mata.Cikgu, jangan lupa kan kami. Kami semua sayang cikgu walaupun mungkin sesetengah daripadanya suka cikgu pergi.Cikgu, minta maaf lah segala kesalahan kami yang kami telah buat terhadap cikgu.Doakanlah kami supaya dapat berjaya pada masa depan.Saya harap cikgu akan datang kembali ke SKJ pada suatu hari nanti.
TERIMA KASIH KERANA MENDIDIK KAMI!!! KAMI AKAN MENGINGATI JASAMU SELAMA-LAMANYA!!! SELAMAT TINGGAL CIKGU..........MAAF TAPI SAYA TAK BOLEH TAHAN AIR MATA. SAYA TERPAKSA TAMAT KAN SURAT NI.YOU ARE THE BEST!!! THE BEST OF THE BEST!!!SAYA TAKKAN LUPA CIKGU KERANA SAYA MENGANGGAP CIKGU SEPERTI MAK KANDUNG SAYA. CIKGU TELAH MEMBERI KAMI BANYAK ILMU PENGETAHUAN.CIKGU KATA MUNGKIN CIKGU BARU YANG GANTI CIKGU MASITAH TU LAGI BAGUS DARI CIKGU MASITAH TAPI SAYA PERCAYA. SAYA MEMANG PERCAYA YANG CIKGU MASITAH AHMAD LAGI BAGUS DARI GURU-GURU YANG LAIN.YOU ARE SIMPLY THE BEST!!! - nazuraiqa@gmail.com

"Assalamualaikum cikgu.Cikgu tgh buat apa? gembira ke sekolah baru tu? budak dia nakal tak macam kelas 4T." - fatinnazihah@gmail.com

"apa khabar cikgu ini Izwana Kamilia . Anak murid cikgu dulu....harap balas ya ...." - anaclever100@gmail.com

Kalau murid-murid rasa rindu dan ingin tahu berita dan kisah cikgu, layarilah blog ini! Mudah-mudahan silaturahim dapat kita teruskan sehingga akhir hayat kita, InsyaAllah!

Thursday, July 9, 2009

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary : Pesanan Ibu Bawa Berkat

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 10 Jan. – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

‘‘Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.

‘‘Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

‘‘Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

PERNIAGAAN

Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.
Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.

Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.
Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.

Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang daripada pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu kepada ibunya.

‘‘Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya,” katanya.

KEJAYAAN

Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau sebenarnya hanya sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah Allah.

‘‘Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.

‘‘Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan awal saya di Kedah masih terus beroperasi.

‘‘Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan Mara serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit maungnya dahulu,” katanya.

Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk kebajikan lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.

‘‘Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.

‘‘Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu,” katanya.

Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula melalui pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan pondok moden dengan dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.

Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah melibatkan 22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

‘‘Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan guru untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan,” katanya.

Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.

Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.

‘‘Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya ‘berpusing- pusing’ (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam, saya dapati ia terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap... macam mana boleh macam ini,” katanya.


Seronoknya dapat berbakti seperti Tan Sri Syed Mokhtar. Turn kita bila lagi? Moga kita semua tak lupa untuk menjadi DERMAWAN bila sudah bergelar HARTAWAN nanti. Kita mulakan dulu langkah menjadi HARTAWAN YANG DERMAWAN sekarang...!

50 Perkara Daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok.Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya kerana saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tidak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan kerana banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia.Saya ini hamba Allah yang biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya dan saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa kerana tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya.Apa yang tidak mampu saya buat maka saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita.Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah.Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.9. Tidak ada jalan singkat.Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan.Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status.ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu.Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa DIA boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu.Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain.Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil, ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini.Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah.Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini.Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri.Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu.Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat.Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya tidak ada duit tapi banyak hutang.Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. perasaan setiap kali mendapat rezeki.Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah).Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan.Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .

30. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula.Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalau pun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa.Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit.Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju.Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita.Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat.Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar).Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah.Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja.Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang.Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu.Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini.Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja, kita belum berjalan lagi.

50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Sumber: http://abraxas248.blogspot.com/2009/04/syed-mokhtar-al-bukhary-50-perkara.html

Semoga menjadi penggerak dan panduan kepada diri kita bagi menjalani kehidupan yang hanya sementara ini! Semoga Allah melembutkan hati kita untuk menjadi seorang yang pemurah! Semoga rezeki yang kita miliki diberkati! Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang bersyukur! Semoga kita semua berada dalam dakapan kasih sayang Allah! Semoga Allah memberkati kita semua!

Monday, July 6, 2009

Sejarah Yang Berlalu Menitip Hari-hari Terakhir di SKJ

12 Mei 2009

PK1 mengucapkan tahniah ketika sibuk menguruskan murid Tahun 4 dalam Program Teknik Menjawab Soalan. Terkejut apbila diberitahu PPD telefon GB, nama naik sebagai PK! Betul ke? Macam tak percaya... Senyap, terkedu...! Semasa terima cenderahati, GB pulak ucap tahniah..., Hi macam ye je! Betul ke? Lepas tu, dalam Mesyuarat Asrama, GB umum jugak..., rasa malu pulak, mana hitam putihnya? GB kata, surat akan diberi kemudian. Tarikh lapor diri 16 Mei tapi PK1 kata 16 Jun, mana satu ni?

Apa pun, perasaan mula berbelah bagi, antara suka dan duka! Suka, mungkin ini satu pengiktirafan dan satu peluang yang lebih baik! Duka, apabila teringatkan anak murid, kawan-kawan dan sekolah yang sudah 17 tahun mencurahkan bakti di dadanya! Sayangnya hati terhadap karenah anak-anak SKJ dan keakraban kawan-kawan, menjadikan hati sedih! Teringat pula tentang kepakaran yang telah diperolehi sebagai guru BM, tentulah akan hilaang dengan sendirinya kerana mungkin tak akan mengajar lagi mata pelajaran teras! Tak mahu tukarlah...! Apa lebihnya jadi PK? Buat orang marah aje! Nanti kena hantar jauh pula? Cari masalah aje... Biarlah sampai pencen kat sini! Tapi GB kata, ambillah peluang ini kerana paling jauh hanya sekitar Kinta Utara. Lagi pun masa masih panjang, banyak lagi peluang lain!

Balik rumah beritahu suami, suami begitu positif dan amat galakkan serta beri sokongan 100%! Apa lagi nak beri alasan..., tunggu ajelah harinya dengan penuh debaran! Kemanalah aku akan dihantar? Mungkinkah ke SK Tasek, atau SK Tasek Dermawan! Adik-adikku juga saspen menunggu! Harap-harap ke sekolah kecil Gred B dekat rumah je... Boleh le slow-slow belajar. Berserah dan tawakal lah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui kemampuan hambaNya!

Kawan-kawan ucap tahniah, bising...! "Kak ni... melimpah ruahlah rezki, dapat sambung belajar, dapat lulus 4&4, anak-anak berjaya, dapat offer PK dan APC 2008 lagi! Hai..., bila nak belanja kami ni?" Ye tak ye juga, banyaknya rezki Allah beri...! Kenapa tak mahu berkongsi dengan kawan? Syukur, Alhamdulillah...! Bincang-bincang dengan suami, akhirnya.....

26 Mei 2009

Petang Selasa tercapailah hasrat dan hajat di hati ingin berkongsi rezki dan meraikan kawan-kawan SKJ sessi pagi termasuk staf sokongan. Terima kasih, Pn. Maznah dan Ustazah Sophiatun yang menambah selerakan menu hari itu, Sampai bila-bila pun menjadi kenangan yang tak akan dilupakan! Teramatlah gembiranya, apabila Pn. Che Yong, Kak Harison(PK Koku MGS), Kak Dina (PK Koku Manjoi 1) dan hampir 95% yang dijemput sudi hadir temasuk PK1, Pn. Hjh. Norma dan PK HEM, Pn. Rohana. Hanya GB yang tidak dapat hadir kerana ada hal di Kedah. Terima Kasih semua! InsyaAllah, ada rezki lagi saya tak lupakan kawan-kawan!

15 Jun 2009

Pagi-pagi lagi, Chik (Ustazah Azimah) tanya dapat sekolah mana? Beritahu dia, tak tau lagi! Entah-entah, tak dapat kot! Tengah jalan, Cikgu Faizul ucap tahniah. Hei..., tahniah apa? Gi pejabat, diberitahu dapat ke Sekolah Seri Kepayang, Fair Park. Guru besarnya, Hjh. Faridahnon bekas PK1 SKJ, Alhamdulillah! Tapi, mana sekolah ni...? Telefon suami, rupa-rupanya sekolah dekat Stadium Indera Mulia, belakang Kedai Kabinet Dapur REMCO! Ooo.... tengah-tengah bandaraya Ipoh!

16 Jun 2009

Pergi lapor diri. GB, Hjh. Faridahnon tiada di sekolah. Bekas PK Koku yang dilantik PK HEM di sekolah yang sama menyambut kehadiranku. Meneliti maklumat dan tinjau-tinjau sekitar sekolah menjadikan hati rasa lega kerana bilangan muridnya hanya 258 orang sahaja termasuk 35 orang murid Pendidikan Khas. Melihat suasana yang nyaman menyebabkan hati menjadi tenang. Selesai memberi surat mohon penangguhan tugas, aku berpatah balik ke SKJ.

19 Jun 2009

Melaksanakan tanggungjawab sebagai guru kelas 4 Teratai. Menyambut kehadiran ibu bapa sempena Hari Mesra Waris. Ramai ibu bapa ucap tahniah dan memberitahu reaksi anak-anak mereka apabila mengetahui guru kelas mereka akan bertukar. Rasa terharu apabila diberitahu, ramai murid yang sedih dengan pertukaranku. Maafkan cikgu, kerana walaupun sudah bertahun kita di suatu tempat dan sudah merasa begitu selesa tetapi cikgu perlu berubah! Nabi Muhammad S.A.W pun terpaksa berhijrah untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik! Dunia pun terpaksa kita tinggalkan apabila dipanggil, inikan pula tempat bertugas! Mungkin banyak hikmahnya!

20 Jun 2009

Seawal jam 4.00 pagi, Muaz dikejutkan untuk ke sekolah! 4.30 pagi, bertolak dari SKJ ke SK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, untuk menyertai Karnival Asrama Peringkat Negeri Perak. Muaz masuk pertandingan sajak, sementara Razman bin Bustam masuk pidato di bawah bimbinganku. Muaz kalah, Razman dapat naib johan! Choral Speaking dan bola jaring mendapat johan, sementara bola dan scareble tempat kedua. Catur dan takraw pula tempat ketiga tetapi SKJ berjaya merangkul johan keseluruhan! Selesai karnival, bertolak pula ke Teluk Batik. Sebelum tidur YDP PIBG belanja makan ikan bakar. Esoknya, pergi pula melawat TLDM. Letihnya tidak terhingga tetapi tak apalah kerana inilah sumbangan terakhirku dalam karnival asrama. Sekolah baruku tiada asrama untuk terlibat. Sampai di rumah lebih kurang pukul 5.00 petang.

22 Jun 2009

Alhamdulillah, rupanya hari ini sekolah baruku bercuti kerana hari Sabtu(20 Jun 2009) ialah Hari Kokurikulum SK Seri Kepayang. Syukur, dapatlah aku rehat dan yang paling bahagia satu tugas penting dah selesai! Aku telefon GB baru, dia kata tak payah datang, cutilah!

23 Jun 2009

Berada di PTTC memberi slot Teknik Menjawab Soalan BM kepada murid-murid cemerlang Tahun 6 di SKJ . Seronok jugak tengok reaksi murid-murid yang teruja melihat animasi yang dimasukkan dalam persembahan powerpoint. Aku cuba yang terbaik, dan harap-harapkan murid dapat memahami dengan jelas dan ingat semua rahsia-rahsia menjawab soalan yang diberikan. Semoga kalian semua mendapat 5A, InsyaAllah!

24 Jun 2009

Berakhirnya khidmat di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Taman Meru, memulakan tugas di SK Seri Kepayang Fair Park! Sejarah yang berlalu di SKJ tetap menjadi nostalgia yang tak mungkin dilupakan! Semoga hari-hari yang mendatang membawa bahagia... Amin...

Wednesday, June 3, 2009

Secebis Kenangan Bersama Amirul Haikal

"Ummi, ada tak anak murid Ummi tahun lepas bernama Haikal?" tanya Anas tatkala aku duduk keletihan , baru pulang dari kuliah!

"Haikal? Ramai murid Ummi yang bernama Haikal."

Kotak fikiranku mula bekerja mencari nama-nama murid tahun lepas.

"Amirul Haikal bin Ahmad Badri, Ya... Ya... Murid Ummi Enam Mawar tahun lepas!"

Terus aku terbayangkan wajahnya yang sedikit tembam. Aku biasa memanggilnya dengan Amirul sahaja. Aku rasa, dialah yang paling dicemburi oleh rakan-rakannya termasuk anakku sendiri, Aisyah. Menurut mereka, Amirul Haikal murid Tahun 6 Mawar kesayangan Cikgu Masitah! Ah... tak kisahlah apapun tanggapan mereka, sedangkan bukan begitu sikap dan niatku terhadap semua murid-murid. Yang pasti, sebagai guru aku laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab!

Mengimbau kenangan meniti hari bersama murid bernama Amirul Haikal, aku begitu tegar dengan dialog yang menjadi permulaan memori yang tidak akan luput dari ingatanku!

Teringat kata-katanya,"Cikgu, cikgu tak nak buat baju ke? Mak saya pandai jahit baju!

"O...o... ye ke? Boleh jugak. Mak kamu boleh jahit jubah ke?"

"Boleh, macam-macam fesyen boleh cikgu! Kalau cikgu nak bubuh labuci atau manik-manik pun mak saya boleh tolong jahitkan!"

Beria benar Amirul mempromo kemahiran ibunya. Aku tidaklah ambil kisah sangat tentang pelawaannya itu kerana tiada kain yang baru dibeli untuk dibuat baju! Selang seminggu, Amirul bertanya lagi, kali ini seakan mendesak!

"Cikgu, hantarlah baju kepada emak saya. Kalau cikgu hantar, bolehlah upah jahit tu saya bayar yuran tution!" Ya... Memang pun, sudah dua bulan yuran tution PIBGnya tertunggak!

"Mengapa pulak tunggu upah jahit baru nak bayar yuran tution? Bukan ke dah hujung bulan ni, bapa kamu sudah tentu dah dapat gaji!" Aku hairan dengan rayuan Amirul.

"Cikgu, ayah saya baru saja berhenti kerja! Sudah dua bulan. Sekarang ni, kami bergantung dengan upah jahit mak saya! Ayah baru aje nak mula berniaga. Nanti Cikgu datanglah ke gerai ayah, makan mee rebus!"

Terkedu seketika apabila mendengar penjelasan Amirul. Bagusnya budak ni, baru 12 tahun sudah tahu dan memahami masalah keluarga! Bagaimana murid sekecil ini sudah rasa tanggungjawab terhadap keluarga, ingin membantu ibunya menambah pendapatan!

Lantas tanpa berfikir, aku terus memberi pengakuan ingin pergi ke rumahnya selewat-lewat hujung minggu nanti. Sebenarnya, kain baru pun belum dibeli lagi untuk ditempah. Demi mengambil hati dan merasa amat kagum dengan ketulusan murid ini, aku tidak patut memberikan alasan!

Sejak hari itu, murid bernama Amirul Haikal ini sentiasa mendapat perhatianku. Kadang-kadang aku lihat dia tidak keluar pada waktu rehat untuk makan.

"Mengapa kamu tidak keluar makan?"

"Saya dah makan di rumah tadi cikgu, masih kenyang lagi!

"Habis, tution karang macamana,. Tak lapar ke?"

"Saya balik ke rumah makan nasi. Mak saya dah siap masak!"

"Sempat ke, Letih le ulang alik naik basikal!"

"Tak lah Cikgu, saya dah biasa!"

Sengaja aku bertanya, sekadar untuk menguji! Ternyata murid ini berjiwa kental. Cekal menerima realiti hidup! Memahami kesusahan keluarga! Payah hendak berjumpa dengan budak sebegini di tengah-tengah masyarakat profesional di Bandaraya Ipoh ini!

Kadang-kadang dia tidak balik makan, rupa-rupanya dia bawa bekalan. Pada Hari Jumaat, dialah yang membantu aku menyusun, mengemas, menghantar buku-buku atau alatan ke bilik guru.

"Cikgu, ada apa-apa lagi saya boleh tolong?" Tanya Amirul sambil mengesat peluh yang menitik-nitik dari mukanya. Nampak kepenatan selepas menghantar buku.

"Tak ada, terima kasih Amirul," sambil menyambut tangan yang dihulurkannya dan sudah menjadi kebiasaanku, sebelah tangan terus menyapu kepala setiap murid yang menyalamiku. Aku begitu mengharap ilmu yang diberi terus mengalir meresap ke ubun-ubun muridku dengan penuh keberkatan dan rahmat Allah!

Suatu hari, Amirul tidak hadir ke sekolah. Aku ambil peluang ini, memuji dan menyatakan kelebihannya kepada murid-murid sekelas. Walaupun tidak secantik dan sekemas tulisan murid perempuan, dia rajin dan cepat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan! Aku juga selalu berikan contoh sikap dan nilai positif yang ditunjuk oleh Amirul. Tujuanku adalah untuk memotivasikan murid-murid lain terutamanya Haziq Mirza yang begitu terkenal dalam kelas 6M'09 dan, aku tahu ada murid yang cemburu apabila aku memuji Amirul termasuk Aisyah! Biar..., biarkan..., moga-moga dengan cemburu itu bisa menggerakkan mereka untuk menjadi lebih baik!

Hari peperiksaaan UPSR begitu mendebarkan! Sehari sebelum bermula, kami guru Bahasa Melayu cuba membantu murid membuat ulangkaji dan ramalan soalan. Walaupun terpaksa menjalani peperiksaan dalam bulan puasa, tapi tampak murid-muridku amat bersemangat...! Ternyata semua murid sudah bersedia untuk menjawab soalan! AlhamdulilLah, inilah berkat bimbingan dan didikan yang guru-guru SKJ curahkan...! Begitulah hari-hari seterusnya. Murid-murid tidak terus pulang kerana guru-guru akan memberikan input terkini.

Hari kedua UPSR, petang Rabu selepas peperiksaan Matematik Kertas 1, semasa Pn. Eisyah dan Pn. Shamsidar memberikan input terkini Bahasa Inggeris, seorang murid memberitahu hidung Amirul berdarah banyak. Kelihatan wajahnya pucat! En. Din, YDP PIBG menghantarnya pulang ke rumah.

Lebih kurang pukul 3.30 petang, aku diberitahu Amirul telah dimasukkan ke wad kecemasan saspek penyakit Luekiemia. MasyaAllah! Terkejutnya aku kerana selama ini, tidak nampak satu pun simpton yang menunjukkan dia berpenyakit! Sememangnya inilah takdir untuknya semasa menghadapi peperiksaan, baru tahu ada penyakit serius! Kesiannya dia, esok ada tiga lagi kertas peperiksaan iaitu Sains, Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2! Tapi, apa pun kesihatannya lebih penting!

Semasa melawatnya, kelihatan dia begitu ceria menanti kedatangan kami cikgu-cikgu SKJ meskipun nampak lemah dan pucat! Kata ibunya, dia masih mahu mengambil peperiksaan walaupun berselirat wayar di badannya! Besok, petang dia akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjalani beberapa ujian darah dan diberikan rawatan rapi! Tabah betul budak ini! Aku bisikkan kata-kata semangat ke telinganya! "Allah pilih Amirul, kerana Allah tahu Amirul kuat. Amirul mesti kuat semangat. Jangan mengalah dan sedih. Amirul mesti ceria!"

Aku berpesan kepadanya, "jangan rasa kesal dengan ujian ini, terimalah dengan redha kerana Allah tahu Amirul mampu menghadapinya! Cikgu sentiasa doakan Amirul sihat sejahtera dan kembali semula ke sekolah!"

Melihat kemerahan mata ibu dan ayahnya, terasa sebak hati tetapi aku tetap menahan air mata daripada menitik di depannya! Bersabarlah, redha dan tabahlah menerima takdir ini walaupun aku tahu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya!

Sejak hari itu, Amirul tidak lagi dapat hadir ke sekolah. Rumahnya banyak di hospital. Pelbagai rawatan yang terpaksa dipatuhi. Dua minggu selepas itu, aku dan guru-guru tahun 6 pergi menziarahinya. Memberi sedikit sumbangan daripada murid-murid dan guru-guru Tahun 6. Kelihatan dia begitu ceria menyambut kedatangan kami walaupun terpaksa memakai penutup mulut. Dia dinasihatkan doktor tidak boleh berada dalam kumpulan orang ramai.

Selang dua minggu, aku pergi lagi kerana ibunya memanggil supaya aku mengambil baju yang ditempah. Aku fikir, biarlah... Mungkin ibu Amirul tidak sempat masa untuk menjahitnya, tetapi terkejut juga apabila diminta datang mengambilnya! Elok juga, dapatlah aku bersedekah sedikit duit raya kepada Amirul.

Hari keputusan UPSR, Amirul dan keluarganya datang ke sekolah. Seramai 32 orang murid SKJ mendapat 5A! 30 orang dari 6 Teratai dan 2 orang dari 6 Mawar! Alhamdulillah, Amirul dapat 1A4B dan ucap tahniah kepada Aisyah dan Haziq Mirza yang dapat 5A! Semua kawan-kawannya mengerumuni Amirul. Aku tidak sempat bercakap panjang dengannya kerana sibuk dengan ibubapa dan analisis UPSR.

Hari-hari berlalu, aku seakan terlupa akibat kesibukan belajar dan mengajar! Kadang-kadang teringat ingin menziarahinya tetapi masa tidak mengizinkan! Ada kain baru hendak ditempah, tapi bimbang ibunya tiada kesempatan untuk menjahit. Sehinggalah pada tanggal 1 Jun 2009, apabila ditanya Anas..., aku rasa aku mesti bersedia dengan berita yang hendak diberitahu oleh Anas!

"Ummi, Puan Puteri telefon kat rumah tadi beritahu, murid Ummi yang bernama Haikal telah meninggal dunia pada pukul 4.00 petang tadi."

"InnaliLLahi wainnaliLLahi rajiun, dari Allah dia datang, kepada Allah dia kembali!" Rupanya, telah tiba masa Allah menjemputnya!

Lantas aku terus menelefon Ustazah Sophiatun dan dia mengesahnya. Dia menunggu aku menziarahi jenazah. Aku berjanji selepas maghrib kerana sewaktu pengkebumian esok aku kuliah dan tidak boleh hadir.

Sesampai aku disambut ibunya. Aku ucapkan takziah dan bersabarlah menerima takdir ini. Allah lebih sayangkannya. Lebih baik dia pergi daripada menanggung sakit yang kita tidak tahu peritnya! Selesai membaca Surah Yasin, kubuka penutup muka sekujur tubuh. Alangkah sejuknya hati, apabila kulihat Amirul tersenyum dalam tidurnya! Kuusap muka dan kepalanya seperti mana dia menyalami aku dulu!

"Pergilah anak muridku... Pergilah dulu menemui Allah... Kami semua akan menyusulimu... Berbahagialah di Syurga yang menantimu!"

Tanpaku sedari, menitik juga airmata semasa mendoakan kebahagiaan Amirul. Kini, kenangan sebagai guru Amirul Haikal menjadikan aku sentiasa insaf dan amat prihatin terhadap masalah peribadi murid yang mungkin boleh mempengaruhi pembelajaran mereka. Semoga Amirul Haikal ditempatkan dalam golongan yang mendapat rahmat Allah! Amin... Amin... Amin... Ya Rabbal'alamin!


Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru 2009

"Selamat Hari guru 2009" kepada semua guru-guru saya yang telah mendidik dan membimbing saya menjadi murid, pelajar, pelatih, guru, isteri, ibu dan manusia yang mengenal kepentingan dan ketinggian ilmu dunia dan akhirat! Semoga cikgu-cikgu semua dirahmati Allah S.W.T..!


Terima kasih kepada semua murid-murid yang memberi cenderahati tanda penghargaan. Pelbagai cenderahati yang Cikgu terima termasuk bunga, mug, pewangi, alatan tulis, bingkai gambar, jam, pelbagai assesori dan tidak sangka pulak Cikgu ada yang beri seterika(Hajar Haziqah 4T) Terima kasih! Sebenarnya, cenderahati yang paling berharga kepada Cikgu ialah kefahaman, kepandaian dan kejayaan cemerlang kamu semua! Inilah kepuasan kerjaya seorang guru! Doa dan harapan Cikgu sentiasa mengiringi kalian!


Ada beberapa bait-bait kata dalam surat dan kad-kad ucapan yang diberi amat memikat hati Cikgu!

"Untuk berhasil dalam apapun, kita harus mempunyai guru. Justeru, mahu berjaya dalam hal keduniaan dan akhirat, kita mesti mempunyai guru, guru yang mursyid!"

"Cikgu, dalam ajarmu ada harapan, dalam tegurmu ada doa, dalam marahmu ada sayang, dalam tawamu ada mesra dan dalam diammu ada bijaksana. Berbahagialah menjadi guru!" - Nor Isza Johari(4T) dan Nurul Izzah Jamaluddin(4D)

Cikgu tahu, kata-kata itu sebenarnya luahan ikhlas murid-murid serta ibu dan bapa kalian. Cikgu amat menghargainya!


Skrip dari e-mel di bawah, sekadar hiburan buat guru-guru semua...!

Murid : Selamat pagi, cikgu.
Cikgu
: Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak tidak doakan saya selamat ke?
Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!
Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat orang! Sebut selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi masa dan keadaan.
Murid : Selamat sejahtera cikgu!
Cikgu : Selamat sejahtera, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?
Murid : Faham, cikgu!
Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid : (senyap)
Cikgu : Pandai!
Murid : Bodoh!
Cikgu : Tinggi!
Murid : Rendah!
Cikgu : Jauh!
Murid : Dekat!
Cikgu : Keadilan!
Murid : UMNO!
Cikgu : Salah!
Murid : Betul!
Cikgu : Bodoh!
Murid : Pandai!
Cikgu : Bukan!
Murid : Ya!
Cikgu : Oh Tuhan!
Murid : Oh Hamba!
Cikgu : Dengar ini!
Murid : Dengar itu!
Cikgu : Diam!
Murid : Bising!
Cikgu : Itu bukan jawapan, bodoh!
Murid : Ini ialah pertanyaan, pandai!
Cikgu : Mati aku!
Murid : Hidup kami!
Cikgu : Rotan baru tau!
Murid : Akar lama tak tau!
Cikgu : Malas aku ajar kamu!
Murid : Rajin kami belajar cikgu!
Cikgu : Kamu gila!
Murid : Kami siuman!
Cikgu : Cukup! Cukup!
Murid : Kurang! Kurang!
Cikgu : Sudah! Sudah!
Murid : Belum! Belum!
Cikgu : Mengapa kamu semua bodoh sangat?
Murid : Sebab saya seorang pandai!
Cikgu : Oh! Melawan!
Murid : Oh! Mengalah!
Cikgu : Kurang ajar!
Murid : Cukup ajar!
Cikgu : Habis aku!
Murid : Kekal kami!
Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!
Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!
Cikgu : Sudah, bodoh!
Murid : Belum, pandai!
Cikgu : Berdiri!
Murid : Duduk!
Cikgu : Saya kata jawab UMNO salah!
Murid : Kami dengar soal KeADILan betul!
Cikgu : Bangang kamu ni!
Murid : Cerdik kami tu!
Cikgu : Rosak!
Murid : Baik!
Cikgu : Kamu semua ditahan tengah hari ini!
Murid : Kami dilepaskan tengah malam itu!
Cikgu : (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar.)

Siapakah yang salah atau silap, guru atau murid? Adakah salah ajaran guru atau silap pemahaman murid? Hanya akal fikir yang menentukannya...!

Saturday, April 25, 2009

Betapa Besarnya AnugerahMu!


Oh, Tuhan...! Berderai mutiara jernih keluar tanpa dipaksa! Mengapa aku begini? Mengapa mudahnya keluar air mata, sedangkan aku seorang yang tegar dan keras hati. Keras jiwa dan raga! Tapi, jiwa yang keras ini terluntur juga dek sebuah buku! Buku yang sudah pasti meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membaca dan memahami dengan ikhlas! Lebih-lebih lagi, jika ada pula memori kehidupan yang hampir sama, benar-benar akan menjadikan hati sedih.

Terasa sebak dan pilu apabila menyelusuri "Catatan Hati Nik Nur Madihah"! Aduhai......, hebatnya penulis Ummu Hani Abu Hassan ni! Garapan kisah yang disusunnya amat menyentuh jiwa! Dilingkari pula dengan realiti kehidupan Nik Nur Madihah yang serba berkurangan tapi dibaluti dengan jiwa syukur dan redha! Kagumnya aku pada ketulusan hati Nik Nur Madihah ini. Terbayang..., bagaimana sejuknya hati seorang ibu dan seorang bapa mempunyai anak seperti dia!

Pertama kali membuka lembaran prakata penulisnya hatiku luluh dengan ayat "Gadis ini, dalam serba kekurangan hidupnya amat kaya dengan sikap bersyukur. Dia istiqamah bertaffakur dan tahajud serta tidak meninggalkan sunat Dhuha. Hari Isnin dan Khamis dengan puasa sunat. Amalan ini telah dimulakan sejak usia 12 tahun, Masya Allah...!" Dan yang paling mengusik jiwa pendidik ini, bagaimana tabah dan cekalnya semangat seorang pelajar demi mencari permata yang tidak ternilai harganya - ILMU! Madihah menyalin semula sebuah kamus Bahasa Arab dengan tulisan tangan sendiri kerana tidak punya wang untuk membelinya! Aduhai.., mampu dan sanggupkah anak-anakku melakukan sebagaimana yang dilakukannya? Kutip dan sematkanlah pengajaran dari kisah ini wahai anak-anakku!
Oh... Tuhan, betapa Kau telah berikan seorang budak yang masih mentah ini jiwa yang kental, semangat yang waja dan kematangan yang tidak setimpal dengan usianya! Tanamlah sedalam-dalamnya kehebatan sifat muliamu itu, peganglah tali ketakwaan itu sekuat-kuatnya, wahai Madihah! Jadilah seorang manusia yang sentiasa insaf! Istiqhamahlah... kerana, masih banyak ranjau-ranjau kehidupan yang perlu dilalui, panjang lagi masa yang perlu diharungi, banyak lagi ujian hidup yang perlu ditempuhi!

Ingat, ujian kefakiran telah berjaya diredahi tapi..., ujian kemewahan dan kesenangan belum tentu kita mampu hadapi! Semoga kesengsaraaan yang ditempuhi berjaya mendidik dan mengasuh Madihah menjadi seorang manusia tidak lupa asal usul! Apa pun, tahniah kerana berjaya mendapat tajaan Bank Negara untuk PILN! Doa dan harapan kami semua mengiringi perjalananmu menuntut ilmu Fizik di Jordan nanti! Selamat menjadi Ahli Kaji Falak yang terkemuka pada suatu masa nanti, InsyaAllah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...