Selamat datang dan salam sejahtera...!
Semoga aura haruman kasturi dari Raudah Firdausi sentiasa bersama kita...

Wednesday, July 29, 2009

Terima Kasih Atas Ingatan!

Hari ini cikgu buka dan baca e-mel. Rasa terharu atas ingatan murid-murid cikgu! Terima kasih atas ingatan kamu semua. Cikgu minta maaf kerana tidak membalasnya! Cikgu ingin balas tapi, cikgu tak mampu...! Tak perlulah cikgu ceritakan sebabnya, cukuplah sekadar cikgu katakan cikgu amat sayang dan rindukan kalian semua. Semoga kalian bahagia dan sentiasa berjaya! Antara e-mel yang menyentuh hati,

"Assalamualaikum, cikgu.Saya anak murid cikgu kelas 4 Teratai. Nama saya Nazura Syafiqah binti Roshidi. Saya amat sedih kerana cikgu tidak akan mengajar kami lagi. Kepada saya, cikgu Masitah je yang hebat dari guru-guru yang lain. Cikgu baik hati dan cikgu selalu buat kami semua gelak.
Lagi satu, CIKGU MASITAH AHMAD IS THE BEST BETWEEN THE OTHER TEACHERS!!! MEMANG CIKGU MASITAH 100% BEST OF THE BEST!!! Walaupun cikgu dah tak dapat jumpa kami, kami masih boleh ada contact dengan cikgu.
Cikgu, terima kasih kerana mendidik kami dengan baik. Agar kami akan jadi orang yang berguna terhadap orang ramai. Memang terima kasih banyak-banyak.Kami semua tak nak cikgu pergi tetapi begitulah hidup. Saya tulis surat ni, tak boleh tahan air mata.Cikgu, jangan lupa kan kami. Kami semua sayang cikgu walaupun mungkin sesetengah daripadanya suka cikgu pergi.Cikgu, minta maaf lah segala kesalahan kami yang kami telah buat terhadap cikgu.Doakanlah kami supaya dapat berjaya pada masa depan.Saya harap cikgu akan datang kembali ke SKJ pada suatu hari nanti.
TERIMA KASIH KERANA MENDIDIK KAMI!!! KAMI AKAN MENGINGATI JASAMU SELAMA-LAMANYA!!! SELAMAT TINGGAL CIKGU..........MAAF TAPI SAYA TAK BOLEH TAHAN AIR MATA. SAYA TERPAKSA TAMAT KAN SURAT NI.YOU ARE THE BEST!!! THE BEST OF THE BEST!!!SAYA TAKKAN LUPA CIKGU KERANA SAYA MENGANGGAP CIKGU SEPERTI MAK KANDUNG SAYA. CIKGU TELAH MEMBERI KAMI BANYAK ILMU PENGETAHUAN.CIKGU KATA MUNGKIN CIKGU BARU YANG GANTI CIKGU MASITAH TU LAGI BAGUS DARI CIKGU MASITAH TAPI SAYA PERCAYA. SAYA MEMANG PERCAYA YANG CIKGU MASITAH AHMAD LAGI BAGUS DARI GURU-GURU YANG LAIN.YOU ARE SIMPLY THE BEST!!! - nazuraiqa@gmail.com

"Assalamualaikum cikgu.Cikgu tgh buat apa? gembira ke sekolah baru tu? budak dia nakal tak macam kelas 4T." - fatinnazihah@gmail.com

"apa khabar cikgu ini Izwana Kamilia . Anak murid cikgu dulu....harap balas ya ...." - anaclever100@gmail.com

Kalau murid-murid rasa rindu dan ingin tahu berita dan kisah cikgu, layarilah blog ini! Mudah-mudahan silaturahim dapat kita teruskan sehingga akhir hayat kita, InsyaAllah!

Thursday, July 9, 2009

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary : Pesanan Ibu Bawa Berkat

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 10 Jan. – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

‘‘Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.

‘‘Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

‘‘Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

PERNIAGAAN

Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.
Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.

Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.
Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.

Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang daripada pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu kepada ibunya.

‘‘Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya,” katanya.

KEJAYAAN

Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau sebenarnya hanya sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah Allah.

‘‘Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.

‘‘Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan awal saya di Kedah masih terus beroperasi.

‘‘Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan Mara serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit maungnya dahulu,” katanya.

Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk kebajikan lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.

‘‘Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.

‘‘Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu,” katanya.

Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula melalui pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan pondok moden dengan dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.

Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah melibatkan 22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

‘‘Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan guru untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan,” katanya.

Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.

Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.

‘‘Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya ‘berpusing- pusing’ (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam, saya dapati ia terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap... macam mana boleh macam ini,” katanya.


Seronoknya dapat berbakti seperti Tan Sri Syed Mokhtar. Turn kita bila lagi? Moga kita semua tak lupa untuk menjadi DERMAWAN bila sudah bergelar HARTAWAN nanti. Kita mulakan dulu langkah menjadi HARTAWAN YANG DERMAWAN sekarang...!

50 Perkara Daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok.Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya kerana saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tidak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan kerana banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia.Saya ini hamba Allah yang biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya dan saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa kerana tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya.Apa yang tidak mampu saya buat maka saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita.Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah.Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.9. Tidak ada jalan singkat.Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan.Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status.ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu.Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa DIA boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu.Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain.Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil, ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini.Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah.Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini.Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri.Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu.Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat.Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya tidak ada duit tapi banyak hutang.Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. perasaan setiap kali mendapat rezeki.Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah).Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan.Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .

30. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula.Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalau pun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa.Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit.Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju.Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita.Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat.Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar).Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah.Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja.Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang.Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu.Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini.Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja, kita belum berjalan lagi.

50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Sumber: http://abraxas248.blogspot.com/2009/04/syed-mokhtar-al-bukhary-50-perkara.html

Semoga menjadi penggerak dan panduan kepada diri kita bagi menjalani kehidupan yang hanya sementara ini! Semoga Allah melembutkan hati kita untuk menjadi seorang yang pemurah! Semoga rezeki yang kita miliki diberkati! Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang bersyukur! Semoga kita semua berada dalam dakapan kasih sayang Allah! Semoga Allah memberkati kita semua!

Monday, July 6, 2009

Sejarah Yang Berlalu Menitip Hari-hari Terakhir di SKJ

12 Mei 2009

PK1 mengucapkan tahniah ketika sibuk menguruskan murid Tahun 4 dalam Program Teknik Menjawab Soalan. Terkejut apbila diberitahu PPD telefon GB, nama naik sebagai PK! Betul ke? Macam tak percaya... Senyap, terkedu...! Semasa terima cenderahati, GB pulak ucap tahniah..., Hi macam ye je! Betul ke? Lepas tu, dalam Mesyuarat Asrama, GB umum jugak..., rasa malu pulak, mana hitam putihnya? GB kata, surat akan diberi kemudian. Tarikh lapor diri 16 Mei tapi PK1 kata 16 Jun, mana satu ni?

Apa pun, perasaan mula berbelah bagi, antara suka dan duka! Suka, mungkin ini satu pengiktirafan dan satu peluang yang lebih baik! Duka, apabila teringatkan anak murid, kawan-kawan dan sekolah yang sudah 17 tahun mencurahkan bakti di dadanya! Sayangnya hati terhadap karenah anak-anak SKJ dan keakraban kawan-kawan, menjadikan hati sedih! Teringat pula tentang kepakaran yang telah diperolehi sebagai guru BM, tentulah akan hilaang dengan sendirinya kerana mungkin tak akan mengajar lagi mata pelajaran teras! Tak mahu tukarlah...! Apa lebihnya jadi PK? Buat orang marah aje! Nanti kena hantar jauh pula? Cari masalah aje... Biarlah sampai pencen kat sini! Tapi GB kata, ambillah peluang ini kerana paling jauh hanya sekitar Kinta Utara. Lagi pun masa masih panjang, banyak lagi peluang lain!

Balik rumah beritahu suami, suami begitu positif dan amat galakkan serta beri sokongan 100%! Apa lagi nak beri alasan..., tunggu ajelah harinya dengan penuh debaran! Kemanalah aku akan dihantar? Mungkinkah ke SK Tasek, atau SK Tasek Dermawan! Adik-adikku juga saspen menunggu! Harap-harap ke sekolah kecil Gred B dekat rumah je... Boleh le slow-slow belajar. Berserah dan tawakal lah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui kemampuan hambaNya!

Kawan-kawan ucap tahniah, bising...! "Kak ni... melimpah ruahlah rezki, dapat sambung belajar, dapat lulus 4&4, anak-anak berjaya, dapat offer PK dan APC 2008 lagi! Hai..., bila nak belanja kami ni?" Ye tak ye juga, banyaknya rezki Allah beri...! Kenapa tak mahu berkongsi dengan kawan? Syukur, Alhamdulillah...! Bincang-bincang dengan suami, akhirnya.....

26 Mei 2009

Petang Selasa tercapailah hasrat dan hajat di hati ingin berkongsi rezki dan meraikan kawan-kawan SKJ sessi pagi termasuk staf sokongan. Terima kasih, Pn. Maznah dan Ustazah Sophiatun yang menambah selerakan menu hari itu, Sampai bila-bila pun menjadi kenangan yang tak akan dilupakan! Teramatlah gembiranya, apabila Pn. Che Yong, Kak Harison(PK Koku MGS), Kak Dina (PK Koku Manjoi 1) dan hampir 95% yang dijemput sudi hadir temasuk PK1, Pn. Hjh. Norma dan PK HEM, Pn. Rohana. Hanya GB yang tidak dapat hadir kerana ada hal di Kedah. Terima Kasih semua! InsyaAllah, ada rezki lagi saya tak lupakan kawan-kawan!

15 Jun 2009

Pagi-pagi lagi, Chik (Ustazah Azimah) tanya dapat sekolah mana? Beritahu dia, tak tau lagi! Entah-entah, tak dapat kot! Tengah jalan, Cikgu Faizul ucap tahniah. Hei..., tahniah apa? Gi pejabat, diberitahu dapat ke Sekolah Seri Kepayang, Fair Park. Guru besarnya, Hjh. Faridahnon bekas PK1 SKJ, Alhamdulillah! Tapi, mana sekolah ni...? Telefon suami, rupa-rupanya sekolah dekat Stadium Indera Mulia, belakang Kedai Kabinet Dapur REMCO! Ooo.... tengah-tengah bandaraya Ipoh!

16 Jun 2009

Pergi lapor diri. GB, Hjh. Faridahnon tiada di sekolah. Bekas PK Koku yang dilantik PK HEM di sekolah yang sama menyambut kehadiranku. Meneliti maklumat dan tinjau-tinjau sekitar sekolah menjadikan hati rasa lega kerana bilangan muridnya hanya 258 orang sahaja termasuk 35 orang murid Pendidikan Khas. Melihat suasana yang nyaman menyebabkan hati menjadi tenang. Selesai memberi surat mohon penangguhan tugas, aku berpatah balik ke SKJ.

19 Jun 2009

Melaksanakan tanggungjawab sebagai guru kelas 4 Teratai. Menyambut kehadiran ibu bapa sempena Hari Mesra Waris. Ramai ibu bapa ucap tahniah dan memberitahu reaksi anak-anak mereka apabila mengetahui guru kelas mereka akan bertukar. Rasa terharu apabila diberitahu, ramai murid yang sedih dengan pertukaranku. Maafkan cikgu, kerana walaupun sudah bertahun kita di suatu tempat dan sudah merasa begitu selesa tetapi cikgu perlu berubah! Nabi Muhammad S.A.W pun terpaksa berhijrah untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik! Dunia pun terpaksa kita tinggalkan apabila dipanggil, inikan pula tempat bertugas! Mungkin banyak hikmahnya!

20 Jun 2009

Seawal jam 4.00 pagi, Muaz dikejutkan untuk ke sekolah! 4.30 pagi, bertolak dari SKJ ke SK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, untuk menyertai Karnival Asrama Peringkat Negeri Perak. Muaz masuk pertandingan sajak, sementara Razman bin Bustam masuk pidato di bawah bimbinganku. Muaz kalah, Razman dapat naib johan! Choral Speaking dan bola jaring mendapat johan, sementara bola dan scareble tempat kedua. Catur dan takraw pula tempat ketiga tetapi SKJ berjaya merangkul johan keseluruhan! Selesai karnival, bertolak pula ke Teluk Batik. Sebelum tidur YDP PIBG belanja makan ikan bakar. Esoknya, pergi pula melawat TLDM. Letihnya tidak terhingga tetapi tak apalah kerana inilah sumbangan terakhirku dalam karnival asrama. Sekolah baruku tiada asrama untuk terlibat. Sampai di rumah lebih kurang pukul 5.00 petang.

22 Jun 2009

Alhamdulillah, rupanya hari ini sekolah baruku bercuti kerana hari Sabtu(20 Jun 2009) ialah Hari Kokurikulum SK Seri Kepayang. Syukur, dapatlah aku rehat dan yang paling bahagia satu tugas penting dah selesai! Aku telefon GB baru, dia kata tak payah datang, cutilah!

23 Jun 2009

Berada di PTTC memberi slot Teknik Menjawab Soalan BM kepada murid-murid cemerlang Tahun 6 di SKJ . Seronok jugak tengok reaksi murid-murid yang teruja melihat animasi yang dimasukkan dalam persembahan powerpoint. Aku cuba yang terbaik, dan harap-harapkan murid dapat memahami dengan jelas dan ingat semua rahsia-rahsia menjawab soalan yang diberikan. Semoga kalian semua mendapat 5A, InsyaAllah!

24 Jun 2009

Berakhirnya khidmat di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Taman Meru, memulakan tugas di SK Seri Kepayang Fair Park! Sejarah yang berlalu di SKJ tetap menjadi nostalgia yang tak mungkin dilupakan! Semoga hari-hari yang mendatang membawa bahagia... Amin...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...