Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W.

KHUTBAH HAJI WIDA'
9 Zulhijjah 10 Hijrah
Lembah Uranah, Gunung Arafah.
"Wahai Manusia!
Dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui, apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai Manusia!
Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah, sesungguhnya kamu akan menemui Tuhanmu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia!
Sebagaimana kamu punyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak atas para isteri kamu, maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia!
Dengarlah bersunggu-sungguh kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekira kamu mampu. Ketahuilah, setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorangpun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh!
Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawab atas apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai Manusia!
Tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai Manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku!
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah, ya Allah... bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu!"
Sedutan dari dari frame cenderahati warga SKJ,
Khutbah Haji Wida'. JazakumulLah Khairan Kathira...!

Comments

puteriembun said…
salam ramadhan...bagus btol blog ni...truskan perjuangan...

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI