Hikmahnya Berhijrah.
“Cikgu..., Nabi Muhammad pun berhijrah! Mungkin ada lebih baiknya..., lagipun ini satu peluang! Sebenarnya ini tanda pengiktirafan Allah atas keikhlasan Cikgu mengajar anak-anak murid”. Terkedu aku mendengar ayat yang terpancul keluar dari mulut Che Mah, isteri Encik Din YDP PIBG SKJ.
Katanya itu menjadikan aku benar-benar berfikir. Benar..., Nabi Muhammad pun berhijrah. Walaupun Mekah itu tempat lahirnya, tempat ayah ibu dan tempat nenek moyangnya bertapak. Bumi Mekah jugalah yang menyaksikan derita hidup suka duka sehingga beliau menjadi Nabi dan Rasul, mengapa pula Nabi tinggalkan dan pergi begitu saja? Ya, demi menyambut seruan hijrah, Nabi pergi ke Madinah dengan penuh redha...! Tapi itu Nabi Muhammad, bukan aku. Adakah keperluan aku seperti keperluan Nabi berhijrah? Tidak..., jauh sekali....! Tapi apabila diarahkan kepadaku sudah tentu telah diizinkan Allah berlaku, mengapa tidakku ambil semangat yang dimiliki RasululLah untuk berhijrah?
“Ha.. aa ..., betul kata Che Mah tu, mengapa takut berhijrah? Sedangkan dunia ni pun mesti kita tinggalkan kalau dipanggilNya nanti...! Inikan hanya tempat bertugas, masakan kita tak boleh berubah? Mesti ada hikmahnya...kan...! ”
Aku betul-betul tersentak dari buaian keselesaan berada di SKJ selama 17 tahun. Bermula dari 16 Jun 1992, selepas 5 tahun berada di SRK Convent, aku rasa pengalaman di SKJ terlalu banyak suka dukanya! Sudah dua Guru besar yang pencen dan seorang lagi pun akan berpencen sepanjang perkhidmatanku di SKJ. Daripada sekolah yang tidak dikenali, sehinggalah kini amat dikenali di Daerah Kinta, kususuli detik-detik kejayaannya saban tahun...!


“Jadi PK ni nanti akan sentiasa tension...! Terpaksa suruh dan marah orang aje. Kena urus program, kena pastikan fail yang lengkap dan kemaskini, kena hantar laporan dan analisis, kena pantau dengan PPD dan JPN dan macam-macam lagi yang akan kena...! Sanggup ke berada di tengah kutukan guru dan Guru besar?”
“Ala..., selama ni pun sebagai Ketua Panitia berat juga tugas, boleh je buat.... Program, fail, laporan dan analisis sentiasa je update.... Tak ade masalah pun! Kalau nak kena pantau, jadi cikgu biasapun kena pantau juga! Bukan ke, setiap program tu ada AJKnya, biar merekalah yang uruskan. Sebenarnya tugas PK memantau kerja cikgu, bukannya PK pulak kena buat...!” Kata-kata suami yang begitu menyokong dan ini menaikkan semula semangatku untuk berhijrah!
Hari-hari awal aku di SKSK, terasa juga kelainannya. Ya, kelainan yang begitu berbeza dengan kebiasaan tugas di SKJ. Walaupun ruangan kereta sempit, tetapi tempat parking khas untuk PK telah tersedia berbanding semasa di SKJ, tempat parking berbumbung terpaksa diundi.
Masuk ke pejabat pula, aku ditempatkan dalam sebuah bilik yang selesa, lengkap dengan komputer, printer dan internet! Terasa janggal juga kerana sebelum ni tempat dudukku terpaksa berkongsi dengan guru petang di SKJ. Hai, inilah mungkin hikmah pertama aku berhijrah!
Semua program sekolah mestiku hadiri. Kekok juga rasanya bila disuruh berucap, tapi itukan kerja guru..., alah bisa tegal biasa! Kadang-kadang Guru besar pinta mewakilinya ke majlis di sekolah luar... Alamak, segan jugak! Tapi kenalah biasa-biasakan...!
Yang paling tak seronoknya, apabila diminta memantau guru-guru mengajar! Aduhai..., semasa jadi cikgu biasa dulu, masa ni lah yang aku paling tak suka! Akupun tak tahu, mengapa aku tak suka walaupun sudah lebih dua puluh tahun mengajar! Mungkin kerana merasakan diri terkongkong dengan disiplin murid yang dibuat-buat, bukan ori...! Bahagianya mengajar apabila dapat bebas memberi ilmu mengikut cara sendiri yang berhasil membuahkan kejayaan cemerlang pelajar! Kepuasan menikmati kejayaan murid ialah dengan kesungguhan dan keikhlasan mengajar, bukan sengaja mengatur untuk dipuji dan diberi markah tinggi oleh orang lain.! Tapi inilah prosedurnya yang mesti diikuti... Dapat bayangkan betapa tensionnya cikgu-cikgu apabila diberitahu aku akan menyelia mereka kerana aku dulu pun begitu! Apapun..., aku kena belajarlah jadi pentadbir walaupun terpaksa menyelia guru opsyen yang tidak sama denganku termasuk BI, BA, SN dan MT...! Kelakar jugak..., kalau tak faham pun..., buat-buat faham je.. le...!
Tiba masa buat program pula, rasanya tak ada masalah. Setelah bermesyuarat, AJK dibentuk, program dapat dijalankan dengan jayanya. Alhamdulillah, Program Bulan Kecergasan dan Bulan Patriotisme berjalan lancar! Walaupun aku masih baru, tapi kerjasama guru-guru di sini amat aku hargai. Kesungguhan dan komitmen guru-guru di SKSK ini amat kukagumi kerana mereka sebenar terbeban dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab tetapi tidak melakukannya hanya melepaskan batuk ditangga sahaja.
Banyaknya aku belajar apabila berpindah ke sekolah baru ini. Lebih-lebih lagi setelah menyelami latar belakang murid-murid di sini. Sesuatu yang baru...! Tidaklah kusangka, di tengah-tengah bandaraya Ipoh ini, aku menemui fakta yang tidak terjangkau dek kotak pemikiranku! Sebelum ini, aku beranggapan murid-murid SKSK lebih kurang murid-murid SKJ tapi..., inilah hikmahnya berhijrah! Allah beri aku pengalaman dan pengetahuan baru yang tidak terfikir sebelum ini... Betul....., berhijrah adalah Sunnah Nabi, kalau kita ikuti dengan ikhlas dan redha sudah tentu banyak hikmahnya! Apakah lagi hikmahnya...? Ada..., tunggu posting seterusnya, InsyaAllah!
Comments
naper PK selalu tak pegang subjek teras....
kalau sekolah cina..GB pun ajor subjek bahasa menderin...trand sk kot cam tu...
maap kalau terkasar bahasa..saja nak tanya jer..