Selamat datang dan salam sejahtera...!
Semoga aura haruman kasturi dari Raudah Firdausi sentiasa bersama kita...

Tuesday, December 28, 2010

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

Terkejutnya melihat begitu banyak ucapan tahniah di dinding facebook...! Berbunganya hati membaca doa ikhlas dari kenalan baru dan lama, kawan-kawan sekolah juga kawan-kawan belajar, saudara mara jauh dan dekat serta anak-anak termasuk murid-muridku yang berada di seluruh pelusuk dunia. Terima kasih...!!!

Ya betul, tanggal 27 Disember 2010 ialah tarikh lahirku. Ucapan dan doa amatku hargai. Semoga ucapan dan doa itu membawa kebaikan untukku di hari-hari mendatang...! Terima kasih sekali untuk semua yang mendoakanya. Tiada apa yang paling istimewa bagiku pada hari ini cuma bersyukur atas anugerah kesihatan, kebahgiaan dan keceriaan hidup yang Allah berikan. Syukur atas ehsanNya yang masih membenarkanku bernafas dan menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta. Syukur kepadaNya kerana memberikan lagi masa untuk aku membasuh dosa-dosa yang lalu. Semoga Allah tetapkan iman dan tambahkan taqwa pada diri yang lemah ini. Semoga aku tidak leka dan lalai dengan fitnah-fitnah dunia....!

Bagiku, sebenarnya yang paling bermakna pada hari lahir kita ialah apabila kita mengenangkan ibu yang melahirkan kita. Ibulah sepatut yang kita raikan pada hari lahir kita...! Hari lahir kita ialah hari ibu yang melahirkan kita. Ibulah yang selayaknya diberikan hadiah dan penghargaan. Ucapkanlah terima kasih kepada ibu pada hari lahir kita atas keperitannya melahirkan kita. Bayangkanlah..., betapa getirnya jiwa dan raga seorang ibu menanggung kesakitan di saat ingin mengeluarkan kita sewaktu itu...! Hari itu kita melihat dunia. Hari itulah kita mulakan diari hidup kita...! Tapi sedarkah kita, bermula hari itulah kita menyusahkan ibu kita! Sememangnya kesusahan itu tidak pernah ibu kita runguti dan sememangnya itulah fitrahnya..., tetapi mengapa kita gembira tanpa mengenang kesusahan ibu di saat itu???

"Terima kasih Mak...!!! Jasa dan pengorbanan Mak tidak akan saya lupa...! Saya tetap kenang dan ingat Mak. Saya sayang Mak...!!! Terimalah hadiah yang tidak seberapanya ini jika dibandingkan kesusahan Mak membesarkan saya...! Emaklah ratu hati saya...! Terima kasih, Emakku sayang...!"

Kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi kerana ibu dan bapaku masih lagi sempat melihat anaknya yang sudah melewati empat puluhan ini...! Betapa susahnya ibu bapa melengkapi hidupku sejak dari lahir, zaman kanak-kanak, remaja, perkahwinan sehinggalah aku pula kini mengurusi kehidupan anak-anakku...!

"Terima kasih Emak dan Abah...! Saya sangat hargai kehidupan ini...!!! Semoga Allah sentiasa memberkati Mak dan Abah...!"

Wednesday, December 8, 2010

Hijrah, Titik Mula Meraih Kecemerlangan

Hakikatnya, awal Muharram adalah satu tarikh yang sangat bermakna bagi mukmin. Tarikh ini membawa kita kembali menyingkap satu peristiwa agung yang terjadi sekitar 1400 masihi yang lalu. Peristiwa yang ini bukan saja memberikan kenangan termanis dalam hidup mukmin tetapi kenangan termanis juga kepada manusia dan seluruh alamnya. Kenapakah peristiwa tersebut dikatakan kenangan termanis buat umat manusia dan alam seluruhnya? Ini kerana, apabila berlakunya peristiwa bersejarah ini dunia yang dahulunya kontang dan tandus dari nilai-nilai kebaikan dan kebajikan mula merasai bibit-bibit kerahmatan, kasih sayang serta keadilan yang dinanti-nantikan buat sekian lamanya. Dunia menanti-nantikan peristiwa tersebut. Peristiwa yang akan memberikan impak besar kepada dunia dan sejarah kemanusiaan yang mana melalui peristiwa tersebut rahmat dan keberkatan Allah tersebar ke seluruh alam. Peristiwa yang dimaksudkan adalah peristiwa Hijrah Nabawiyah.
Hijrah di dalam Islam adalah suatu peristiwa yang agung. Syariat Islam, kehebatan, keizzahan, kemurnian, keadilan dan kasih sayang dapat dirasai dengan hakikat yang sebenar selepas berlakunya peristiwa ini. Peristiwa ini meninggalkan bekas yang mendalam didalam hidup mukmin yang inginkan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan dalam erti kata yang sebenar.
Peristiwa hijrah nabawiyah bukanlah semudah yang kita bayangkan. Pernah digambarkan oleh seorang ulama berkenaan peristiwa hijrah ini dengan katanya, “Hijrah merupakan adik kandung kepada kematian”. Ini menggambarkan kepada kita bahawa kegemilangan tidaklah dicapai dengan mudah bahkan ia menagih 1001 pengorbanan. Sejarah membuktikan bahawa pengorbanan tidak dapat dipisahkan daripada hijrah. Ingin berhijrah, maka perlulah berkorban. Ini sama seperti apa yang telah berlaku ke atas Suhaib bin Sinan ar-Rumy. Beliau meninggalkan seluruh harta benda yang dicintainya semata-mata untuk menyahut dan melaksanakan perintah Rasulallah SAW iaitu berhijrah ke Madinah. Tetapi, pengorbanan tersebut dibalas dengan kejayaan yang tidak ada lagi kejayaan selepas itu. Selepas Rasulullah SAW mengetahui kisah itu baginda bersabda, “Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib”. Keuntungan tersebut bukanlah keuntungan yang bersifat meterial dan duniawi, tetapi keuntungan yang bersifat hakiki dan kekal abadi. Keuntungan yang dimaksudkan adalah keuntungan meraih redha Allah SWT.
Inilah keuntungan yang sebenarnya. Apa lagi yang bakal menandingi redha Allah? Tidak, tidak ada sama sekali. Firman Allah, “Dan redha Allah itulah yang paling besar”. Keredhaan Allah SWT adalah keizinan daripada kerajaan yang memiliki langit dan bumi serta di antara duanya untuk mendiami syurga-Nya. Firman Allah, “Sesiapa yang dijauhi dan diselamatkan Allah daripada azab neraka, maka mereka itulah golongan yang benar-benar berjaya”. Inilah erti kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan yang sebenar.
Sementara itu, peristiwa hijrah juga mengembalikan ingatan kita kepada salah satu hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan peristiwa ini. Hadis riwayat Umar itu membawa maksud, “Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa yang diniatkannya, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia bakal mendapat balasan daripada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa pula yang berhijrah kerana mencari kepentingan dunia atau kerana perumpuan yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa yang diniatkan itu (serta dia tidak akan mendapat balasan baik oleh Allah).” (hadis Shahih, riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini dilafazkan oleh baginda ar-Rasul SAW disebabkan berlakunya peristiwa hijrah. Maka, kita dapat memahami di sini bahawa hijrah yang dilakukan perlulah disertai dengan niat yang baik. Dengan adanya niat yang baik tersebut diganding pula dengan pengorbanan maka pasti akan mencapai kecemerlangan.
Kesimpulannya, peristiwa hijrah yang dipaparkan tadi adalah satu petunjuk dan panduan daripada Allah SWT kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan di sisi Allah SWT. Biarpun peristiwa hijrah ini telah berlaku tetapi pengajarannya masih dan akan terus kekal didalam jiwa mukmin. Akhirnya, bagi menyahut seruan hijrah pada kali ini marilah kita menanam atau memperbaharui azam kita dan moga-moga dengan niat yang baik ini Allah SWT mempermudahkan perjalanan kehidupan kita menuju keredhaan dan syurga Allah SWT.
Dipetik dari laman,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...