Indahnya Saat Bersahabat Tetapi…….!

Assalamu’alaikum…! Aku menoleh sambil menjawab salam yang diberi, seorang perempuan sebaya aku tersenyum bertanyakan katil kosong di sebelahku!

Zaleha binti Abdul Ghani, begitu dia memperkenalkan dirinya. Kecil molek orangnya, wajahnya mirip perempuan cina, nampak ceria dan begitu teruja gaya suaranya. Tidakku sangka kerana dia rupanya orang Ipoh, Rapat Setia. Mengapa selama ini aku tidak pernah berjumpa dengannya? Sepanjang aku berkursus dulu pun tak pernah jumpa. Begitu juga dengan Kak Minah, seorang lagi kenalan yang baru tiba, juga orang Rapat Setia. Menurut Leha, mereka berdua pun tidak pernah mengenali satu sama lain semasa di Ipoh. Jodoh dan pertemuan itu Allah yang menentukannya!

Kemudian, sampai pula seorang lagi teman, Fatimah dari Sungai Petani, Azlina dan Mak Lang dari Alor Setar serta seorang lagi dari Perlis, Asyikin! Lengkaplah tujuh orang kami sebilik, makan, minum, tidur, baring, beribadah, berkongsi suka duka selama 40 hari menunaikan fardu haji di Tanah Suci, kota Mekah.




Ketika itu, lagi seminggu tibanya Hari Wuquf di Arafah… Masing-masing sibuk menjaga pantang larang semasa ihram kerana kami semua melakukan Haji Ifrad. Pergaulan kami terbatas kerana kami pergi ke Masjidil Haram bersama suami masing-masing kecuali Kak Minah yang kematian suami bersama anaknya Hafiz, dan Mak Lang bersama suaminya yang sudah lanjut usia (lewat 70an).

Kesian Mak Lang, kerana Pak Lang sudah tidak mampu mengurus diri sendiri! Pak Lang seperti kehilangan isteri dan sentiasa mencari dan memanggilnya. Akhirnya, atas daya usaha suamiku, Mak Lang dan Pak Lang dapat tinggal satu bilik berhadapan bilik Tabung Haji. Kami sentiasa menjenguk dan menghantar makanan serta memastikan ibadah Mak Lang sempurna!

AlhamdulilLah, selesai ibadat haji di Mekah, kami semua ke Madinah. Kami masih juga bersama, cuma tidak dapat satu bilik. Kemesraan hubungan tetap terjalin menjadikan kami lebih akrab. Kerana aku masih sebilik dengan Leha, kami berazam masuk ke Raudah berulangkali. Peluang dan kesempatan ini kurebut sebaik mungkin.

Leha seorang yang ceria. Seorang periang, yang kufikir tiada apa masalahnya. Walaupun sikapnya yang suka berterus terang, tidak pandai menggunakan ayat bersastera, terus kepada tajuk tetapi perbualannya amat menghiburkan! Gelagat dan tutur katanya, lincah menjadikan suasana kami lebih ceria.

Balik ke Malaysia, kami mengatur pertemuan. AlhamdulilLah, kami dapat berkumpul semula sebulan kemudian bersama dengan keluarga masing-masing. Kebetulan kami semuanya sebaya, anak-anak kami pun sebaya umur kecuali Mak Lang dan Kak Minah. Mereka dapat berkenalan satu sama lain dan yang penting kami dapat menghubungkan silaturrahim.

Aku dan Leha menjadi begitu rapat kerana kedua-dua kami berprofesion yang sama. Lagipun, dia ini seorang yang aktif termasuk berniaga. Dia rajin ke sana sini untuk mendapat bekalan perniagaan. Aku kalah dengannya apabila terlalai menghubunginya…, sehinggalah pada suatu hari dia menelefonku…., “Hang ni…, aku je yang telefon. Kalau aku tak telefon, mati pun hang tak tau…!” begitulah tajam jeritannya di hujung telefon. Aku mengaku, itulah kelemahanku…! Bukan sebab tidak ingat sahabat tetapi kadang-kadang bimbang mengganggu atau menyusahkannya. Sepatutnya aku tidak fikir begitu… Kebenaran kata-katanya terbukti apabila diberitahu bahawa dia sedang bercuti tiga bulan…, selesai pembedahan kanser payu dara peringkat kedua…! Oh, Tuhan...! Alangkah terkejutnya aku…! Kupinta, dia redha dan pasrah menerima ketentuan ini!

Aduhai..., sungguhpun begitu..., kudengar suaranya masih ceria. Begitu juga sewaktu aku pergi menziarahinya… Dia tampak segar dan becok bercerita hal anak-anak dan kawan-kawan! Aku kagum dengan ketabahannya! Ceritanya dia baru bercuti di Pulau Redang bersama keluarga, habis beribu ringgit tetapi dia puas bergembira bersama keluarga! Betul..., duit boleh dicari, masa bersama keluarga akan berlalu jika tidak direbut!

Seminggu berpuasa, aku mendapat telefon dari Hafiz memberitahu Leha tenat..! Terkejutnya aku, lantas menziarahinya di hospital. Ya, memang tenat kerana menurut doktor separuh badannya telah dipenuhi virus. Nasi sudah menjadi bubur, jangka hayatnya hanya tiga, empat hari sahaja! Masalahnya, kerana badannya yang kecil molek rupanya dia tidak pergi kimoterapi, katanya cuba perubatan alternative! Aku memeluknya, membisikkan kata-kata semangat, bersabarlah… Allah tahu kamu mampu menghadapinya, sahabatku! Dia mengangguk dan meminta diambilkan air sembahyang, hendak solat Zohor apabila diberitahu telah masuk waktu! Memang dia kuat…, tabahlah sahabatku!

Kuhubungi kawan-kawan yang lain, sempatlah mereka menziarahinya, membaca Yasin dan mendoakan kesejahteraannya. Akhirnya…, telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami… Pada tanggal 3 September 2009 (13 Ramadhan 1430H), kembalilah sahabatku ke RahmatulLah lebih kurang pukul 4.30 petang. Pergilah sahabatku…, kami tetap menyusulimu nanti! Semoga kau bahagia di sana menunggu kami semua, InsyaAllah! Indahnya saat bersahabat…., tetapi Allah lebih mengasihimu!

Aku teringatkan kelincahannya, apabila sempatku balut kakinya dengan kapas putih bersama Kak Minah. Gurau senda dan senyum tawanya amat pilu untukku kenangi! Sayunya hati melihat Zahid, anak bungsunya baru darjah tiga yang tidak pernah lekang dari sisi ibunya! Begitu juga anak-anaknya lain yang tidak henti-henti membacakan Yasin. Berderai air mata memeluk Maisarah, satu-satu anak perempuannya mengenangkan lagi tiga hari akan menduduki peperisaan UPSR!

Kubisik ke telinga Maisarah, “jangan lemah semangat, buat yang terbaik, ingat pesan dan harapan ibu, tunaikan hasrat ibu, jadilah anak yang soleh, anak yang melakukan kebaikan yang ibu ajarkan! Ibu akan bahgia apabila anak-anaknya mengamal kebaikan yang diajarkan. Kita semua akan ke sana, Cuma cepat dan lambat sahaja. Redhakan ibu pergi dahulu! Kuatkan hati, hidup mesti diteruskan, cekalkan semangat!” Suaraku tenggelam dek kesedihan yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Kata-kata ini, sebenarnya untuk memujuk hatiku juga kerana keakraban bersahabat menjadikan aku sentiasa teringatkan keriuhan dan gelak tawanya yang tanpaku duga, janji Tuhan telah tiba untuk menjemputnya! Pemergianmu, benar-benar menyedarkan kelalaian dan kealpaanku tentang kematian…! Semoga kau bahagia di dalam rahmat Allah…, sahabatku!

Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI