Betapa Besarnya AnugerahMu!


Oh, Tuhan...! Berderai mutiara jernih keluar tanpa dipaksa! Mengapa aku begini? Mengapa mudahnya keluar air mata, sedangkan aku seorang yang tegar dan keras hati. Keras jiwa dan raga! Tapi, jiwa yang keras ini terluntur juga dek sebuah buku! Buku yang sudah pasti meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membaca dan memahami dengan ikhlas! Lebih-lebih lagi, jika ada pula memori kehidupan yang hampir sama, benar-benar akan menjadikan hati sedih.

Terasa sebak dan pilu apabila menyelusuri "Catatan Hati Nik Nur Madihah"! Aduhai......, hebatnya penulis Ummu Hani Abu Hassan ni! Garapan kisah yang disusunnya amat menyentuh jiwa! Dilingkari pula dengan realiti kehidupan Nik Nur Madihah yang serba berkurangan tapi dibaluti dengan jiwa syukur dan redha! Kagumnya aku pada ketulusan hati Nik Nur Madihah ini. Terbayang..., bagaimana sejuknya hati seorang ibu dan seorang bapa mempunyai anak seperti dia!

Pertama kali membuka lembaran prakata penulisnya hatiku luluh dengan ayat "Gadis ini, dalam serba kekurangan hidupnya amat kaya dengan sikap bersyukur. Dia istiqamah bertaffakur dan tahajud serta tidak meninggalkan sunat Dhuha. Hari Isnin dan Khamis dengan puasa sunat. Amalan ini telah dimulakan sejak usia 12 tahun, Masya Allah...!" Dan yang paling mengusik jiwa pendidik ini, bagaimana tabah dan cekalnya semangat seorang pelajar demi mencari permata yang tidak ternilai harganya - ILMU! Madihah menyalin semula sebuah kamus Bahasa Arab dengan tulisan tangan sendiri kerana tidak punya wang untuk membelinya! Aduhai.., mampu dan sanggupkah anak-anakku melakukan sebagaimana yang dilakukannya? Kutip dan sematkanlah pengajaran dari kisah ini wahai anak-anakku!
Oh... Tuhan, betapa Kau telah berikan seorang budak yang masih mentah ini jiwa yang kental, semangat yang waja dan kematangan yang tidak setimpal dengan usianya! Tanamlah sedalam-dalamnya kehebatan sifat muliamu itu, peganglah tali ketakwaan itu sekuat-kuatnya, wahai Madihah! Jadilah seorang manusia yang sentiasa insaf! Istiqhamahlah... kerana, masih banyak ranjau-ranjau kehidupan yang perlu dilalui, panjang lagi masa yang perlu diharungi, banyak lagi ujian hidup yang perlu ditempuhi!

Ingat, ujian kefakiran telah berjaya diredahi tapi..., ujian kemewahan dan kesenangan belum tentu kita mampu hadapi! Semoga kesengsaraaan yang ditempuhi berjaya mendidik dan mengasuh Madihah menjadi seorang manusia tidak lupa asal usul! Apa pun, tahniah kerana berjaya mendapat tajaan Bank Negara untuk PILN! Doa dan harapan kami semua mengiringi perjalananmu menuntut ilmu Fizik di Jordan nanti! Selamat menjadi Ahli Kaji Falak yang terkemuka pada suatu masa nanti, InsyaAllah!

Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI