BANGKIT DAN MULAKAN

Hari ini aku ingin mulakan...
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Dan Penyayang"
Aku ingin bangkit dengan... 

Memetik jari jemariku yang sudah mula keras dan kaku setelah cukup setahun kutinggalkan dunia profesional. Memang niatku sebelum ini ingin mengasah semula pena penulisan yang sudah sangat tumpul ini seawal persaraan dahulu, tetapi dek kekangan aktiviti dan masalah 'ingin berehat dahulu' menjadikan aku sangat-sangat malas untuk membuka laptop. Lebih-lebih lagi apabila laptop yang telah berusia hampir 6 tahun itu sudah terlalu banyak ragamnya. Hendak membukanya pun hampir setengah jam membelai dan memujuk, terpaksa menunggu dengan sabar, menyebabkan aku tidak kuasa melayannya tambahan pula dengan sikap malas yang sudah mula menapak... 

Dahulu, aku sememangnya minat menulis sementelah mengajarpun subjek Bahasa Melayu. Anak-anak murid sering kugilapkan penulisan karangan yang mereka hantarkan. Kubetulkan tatabahasa, batang ayatnya dan tanda-tanda bacanya membuatkan aku mahir dalam berbahasa, pernah menjadi ketua panitia Bahasa Melayu, panel pemeriksa kertas penulisan, juga pernah membantu suami Dr Hj Mohd Razak dalam beberapa penulisan jurnal dan juga bukunya "Panduan Pengacaraan Majlis dan Pengurusan Majlis Rasmi" yang pernah menjadi 'best seller' 2020,  tetapi entahlah...  sejak kutinggalkan lebih 10 tahun yang lalu menjadi pentadbir dan pengurus, aku jadi begitu pasif untuk  menulis secara kreatif. 

Aku rasa terlalu kekok untuk membina ayat-ayat gramatis dan puitis kerana sudah terlalu lama menggunakan ayat ringkas, tepat dan padat.  Lebih-lebih lagi apabila pembacaanku pun sangat berkurangan hanya banyak tertumpu pada skrin laptop dan telefon pintar sahaja.  Keadaan ini telah menyebabkan aku menyerah dan begitu tipikal.  Mungkin juga dengan peningkatan umur hampir senja ini menjadikan aku sangat selektif. 

"Yong, mari kita tulis tentang mak. Mak tu banyak kisah menariknya... Mari kita selongkar dan cari.  Kita terbitkan bersama sebagai kenangan untuk anak cucu kita nanti." 

Berkali-kali adikku Che Mas mengumpan, cuba memujukku untuk menulis. Kalau dahulu sememangnya dia yang sering bertanya kepadaku tentang bahasa dan teknik-teknik penulisan, tetapi sekarang aku sangat kagum dengan kegigihannya berusaha dan berdiri sebagai penulis. Sangat kuat semangatnya meskipun ada bebanan tugas dan tanggungjawab. Kubaca rentetan ayat-ayatnya dalam media sosial, telah begitu banyak perubahan adikku ini. Hasilnya dia sudah mampu menerbitkan sebuah buku sendiri "Di Bawah Timbunan Kerikil Baqi'" dan ada cerita dalam beberapa antologi kisah hidup. Dia begitu menginspirasikanku. 

Terasa rindu dan teruja kembali pabila kucuba jenguk semula luahan dan kisah-kisah yang dahulunya pernah kutulis meskipun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab. Sepatutnya masa-masa yang ada kini tidak langsung menghalang aku untuk menulis. Sepatutnya aku lebih lancar dan segar mengeluarkan idea-idea kerana tiada gangguan pun.  Sepatutnya aku tidak jumud membiarkan diri terapung dalam dunia kerehatan dan kemalasan ini. 

Bangkit dan mulakanlah wahai diri. Jangan fikir sudah terlambat dan jangan rasa malu untuk bercerita dan meluahkannya. Jangan biarkan pemikiranmu mati terkulai layu. Jangan pernah berhenti mengeluarkan kata sakti yang dahulunya kamu pernah buktikan dalam tugasan.  Kalau kamu tidak bersungguh memecahkan ruyong itu, manakan dapat sagunya yang enak.  Jadi, mulakanlah...

Ya aku perlu bangkit. Aku perlu mulakan dari sekarang. Aku perlu cergaskan akalku dengan berfikir dan menulis. Aku mahu sentiasa segar dan bermanfaat. Banyak cerita indah sepanjang perjalanan hidup yang perlu generasiku ambil teladan. Banyak  kisah menarikku yang perlu menjadi legasi selepas ketiadaanku nanti.  Mungkin ada kebaikan yang perlu disebarkan.  Mungkin juga boleh menjadi saham pahalaku di akhirat nanti.  

Jadi, aku mesti mulakan... Perlahan-lahan kubuka Sewangi Kasturi Blogspot.  Biarlah kusambung cerita di sini, walaupun sudah penuh sawang dan bersarang.  Post terakhir dicatat Tahun 2014.  Mujur papan pemuka belum terkunci.  Mujur ada Muaz, anak bongsu yang menjadi tempatku bertanya dan belajar guna tablet baharu ini.  Biarlah aku berceloteh dan meluahkan rasa di sini sahaja, walau dikatakan sudah tidak relevan lagi.  Tapi aku rasa aku bahagia di sini.  Bebas menulis sendiri.  Tidak memaksa orang lain untuk membaca.  Kalau ada yang jenguk, itulah bonus untuk aku sebagai penulis tidak bernama.  Hanya mencari kepuasan memberitahu kisah yang baik-baik, selebihnya bercerita kepada Allah tempat yang terbaik.

Sambil itu kucuba intai peluang yang diberi Puan Sri Diah Shaharuddin dalam UnIKH Semester 003 belajar menulis kisah hidup secara mantap.  Terima kasih Puan Sri kerana telah membuka ladang yang bakal menghasilkan buah-buahan yang ranum untuk dimakan generasi mendatang.  Terima kasih kerana telah membuka mindaku untuk berkarya walaupun sudah hampir capai status warga emas.  Maaflah... mungkin juga dengan status itulah membuatkan aku bergerak terlalu lambat tidak seperti pengkarya lain tetapi yang pasti, aku sudah bangkit dan mulakan.

Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI