TRAGEDI KAIN BATIK SARUNG

"Mak..!  Adik nangis...!" Kujerit dalam samar-samar pagi kepada emak yang berada tidak jauh dari kami.  

Emak menyahut sambil tangan kanannya menarik getah kering dalam pot yang melekat di pokok. Dia ingin menyelesaikan dua batang pokok getah lagi dalam baris pertama itu.

"Tunggu jap, mak datang ye..."  Terdengar sayup-sayup suara emak memberikan aku harapan.  

Aku bahagia bersama adikku mengikut emak dan abah bekerja.  Seumur tiga tahun itu, emak amanahkan aku menjaga adik kerana tiada penjaga untuk ditinggalkan.  Emak letakkan aku dan adik dalam sebuah dangau kecil di kebun getah itu.  

Di bawah tepi berhampiran dangau, abah nyalakan unggun api kecil supaya berasap bagi menghalau nyamuk dan menghilangkan unggas-ungas kecil yang suka menghurungi kami.  Dibekalkan juga aku dan adik dua helai kain batik sarung untuk selimut tatkala kesejukan.  Jagung dan roti menjadi jajanku ketika terasa lapar.

Dalam sibukku memujuk adik, tiba-tiba sehelai kain batik sarung terjatuh di atas unggun api. Mula-mula kelihatan seperti api itu padam, tapi rupanya bertambah besar dan bercahaya.  Adikku berhenti menangis apabila melihat cahaya dari unggun api itu.  Aku dan dia jadi seronok dan ingin melihat cahaya lebih besar lagi.

"Wah, tambah besar dan cantik sekali apinya!"  

Lantas dengan gembiranya aku mencampak sehelai lagi kain batik sarung yang tinggal untuk melihat lebih besar dan cantiknya api itu.  Aku ingin melihat terang dan indahnya pagi itu dengan cahaya yang lebih banyak.  Tetapi anggapanku silap, rupanya api bertambah marak dan hampir menyentuh kami dua beradik.  Aku peluk adik dan bergerak ke tepi dangau sambil menjerit.

"Mak..!  Mak.!  Abah..!  Api, api...!"  

Baruku tahu dan sedar apabila bahang api telah terasa panasnya.  Abah  dan emak terus menerpa apabila melihat dari jauh lagi api sedang marak.  Berlari cemas mereka berdua meninggalkan pokok getah yang sedang ditoreh.  

Abah terus menarik kayu besar yang menjadi bara dan mengucai ranting-ranting di sekeliling api.  Syukur, aku dan adik selamat walaupun emak sedikit sedih kerana kedua kain batik sarung baharu dibelinya dengan wang jualan jagung hasil tanamannya telah hangus dijilat api.  

"Syukur..!  Yang penting kedua anakku selamat, kain batik boleh kubeli lagi jika ada rezeki kemudian nanti InsyaAllah,"  emak memujuk hati sambil memeluk kami berdua dengan eratnya.

Kesian emak, bukan senang hendak dapatkan dua helai kain batik sarung dari Terengganu itu. Putih mata emak melihat kain batik sarung baharunya hangus menjadi abu di dalam unggun api itu. Tidak mengapa emakku sayang, sekarang emak hendak berapa helai kain batik sarung pun boleh kubeli dan hadiahkannya.  

Begitulah kisah satu bahagian seperti yang emak ceritakan semasa  aku dan adikku, Mazlan masih kecil.  Kami berdua terpaksa dibawa ke kebun getah  gambaran susahnya kedua orang tuaku mencari rezeki.  

*  Kisah ini kutulis sekadar memenuhi Tugasan 1, "Show Don't Tell" bersesuaian dengan tema Legasi Nenda yang dipilih.  Seronoknya belajar dalam UnIKH Semester 003 kerana dapat ilmu baharu dari Puan Sri Diah untuk aktif berkarya. Terasa berbeza dan teruja menggayakan tulisan secara kreatif ini ye Che Mas.  Jangan terkejut,  Yong memang kreatif rupanya sejak kecil...ha..ha..ha...😅




Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI