JEJAK MURABBI

Murabbi...!
Kami menyelurusi jejak Murabbi
ketulusan hati guru yang murshid
bermula dari akar pintar
di tapak semaian kewajipan
mengumpul hikmah di menara ilmu
menyerap risalah insaniah
menggarap cita kudus
suburlah pohon bakti 
di kebun perguruan.

Murabbi...!
Kau hebat kerana ilmu
kau berjaya kerana kesabaran
kau cemerlang kerana ketekunan
kau matang kerana kasih sayang
kepuasanmu kerana kesungguhan kami
sebenarnya
kau punya watak dan acuan tersendiri
tidak pernah minta disanjung
di sisi tasik maruah
mengalir ke sungai sejarah
di tengah-tengah 
terbinalah jambatan insaniah.

Murabbi...!
Bersendikan keikhlasan
kemurnian aqal budi
lahirlah kami semua
anak-anak generasi 
meneroka hidup bersadurkan taqwa
satu kelebihan
sebutir mutiara
tetap bersinar meskipun di mana tercampak
terhumban ke laut menjadi pulau
tersadai di darat menjadi gunung
kami pusakai pemberianmu, Murabbi.

Murabbi...!
apakah lagi yang murid cari?
selain kesantunan yang diamali
kehormatan yang dipeliharai
semangat yang diperjuangkan
akhlak yang disempurnakan
pandangan makrifat Murabbi tetap jadi amanat
atas bakti gigih, cekap, canggih tanpa gugup
kami teladani dalam kelangsungan hidup.

Murabbi...!
Kau mualim sejagat
menjana, mendidik, membangun jiwa
menyubur minda segar dengan wawasan
kami abadikan sejuta sanjungan untukmu, Murabbi...!



Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!