MENGAPA MESTI RAGU-RAGU...?

Petang tu, lepas tanya Ammar macamana program hari ini, hati Ummi berdetap! Tersentak betul ! Mana tidaknya, jawapan Ammar amat memeranjatkan!

"Ummi, jangan lagilah berharap anak-anak Ummi yang lain untuk jadi doktor! Bukan senang jadi doktor. Ammar rasa, Ammar tak ndak pergilah esok!"

Alaamak, kenapa ni? Apa dah jadi...? Mengapa sampai begitu sekali fikiran si Ammar ni? Ummi diam. Dalam hati Ummi berfikir, adakah aku terlalu memaksa? Adakah pilihan kerjaya ini telah memberi tekanan kepada dia? Adakah...? Adakah...? Tapi... Ummi rasa, Ummi telah memberi pilihan kepadanya! Ammar sendiri yang memilihnya! Cuma..., sedari awal lagi (selepas Result PMR Ammar) Ummi ada beritahu harapan Ummi.

"Ummi nak Ammar macam Kak Yong! Jadi doktor juga! Sebab..., bidang ini ialah bidang yang mulia selain bidang pendidikan! Bidang ini Ummi rasa sesuai dengan Ammar berbanding bidang lain ( jurutera, arkitek, pengurus, akautan atau sebagainya)"

Sebenarnya bidang ini merupakan fardhu kifayah memandang kurangnya pelajar Melayu terutamanya lelaki! Lagipun bidang ini memberi jaminan pekerjaan di masa depan. Ummi menyatakan harapan ini sebenarnya kerana mahu Ammar terus target dan bergerak awal ke arah sasaran itu! Ummi tidak memaksa! Ummi tidak menekan anak Ummi supaya mengikut kehendak Ummi! Ummi menyatakan harapan itu sekadar cuba menunjukkaan arah tuju pilihan masa depan! Sebenarnya Ummi kata begitu kerana Ummi tahu Ammar boleh! Ammar boleh macam Kak Yong! Dan dah terbukti pun Ammar boleh dalam SPM baru-baru-baru ni! Ammar dapat offer PILN biasiswa JPA lagi! Ammar boleh pilih jadi ustaz atau loyer, tapi dengan kelayakan yang Ammar ada, bukankah ini satu peluang? Satu kelebihan?

Sebenarnya, Ummi tahu banyak yang Ammar tension! Ammar bukan silap pilih kerjaya! Baru dua hari Ammar ikuti Program Pendedahan Kerjaya Doktor (23 Mac -28 Mac 2009), semangat berkobar Ammar mula pudar! Banyak sebabnya...

Pertama, Sedari dalam kereta lagi Ammar dah berdoa, "Mintak-mintaklah ramai budak lelaki Melayu!"

Setibanya di kauter pendaftaran, Ummi boleh kira pelajar Melayu, kurang daripada 20 orang daripada 75 orang, lelaki hanya 5 orang! Mana Ammar tak gelabah! Sudah tentu menimbul rasa berbeza dengan suasana Kisas dan Tahfiz yang Ammar telah tempuhi. Ditambah pula, apabila mendapat kumpulan, Ammarlah satu-satunya pelajar lelaki Melayu terakhir, yang lainnya pelajar perempuan Cina dan India seramai sembilan orang lagi! Lagilah tension, dilantik pula menjadi ketua kumpulan! Nanti kena present le..., kena komunikasi dalam BI le..., dan kena macam-macam lagi..! Inilah ujian namanya, Ammar! Kalau nak jadi doktor, Ammar mesti biasa bertemu pelbagai ragam dan jenis orang. Ammar mesti hadapi realiti mayarakat! Tuhan takdirkan semua ini adalah untuk menyeimbangkan Ammar antara keperluan duniawi dan akhirat! Allah beri Ammar hadapi semuanya ini, supaya Ammar memahami realiti yang perlu ditempuhi! Ammar perlu kuat! Yakinlah dengan kemampuan diri sendiri! Inilah satu cara yang Allah takdirkan bagi memastikan Ammar tidak jumud dalam menjalani kehidupan!

Kedua, Ammar terpaksa mengikut jadual yang padat (9.00 pagi - 5.00 petang) Hari kedua sampai 9.00 malam (konon-kononnya - on call). Ummi tahu Ammar terkejar-kejar masa untuk solat, sedangkan Ammar perlukan masa yang banyak untuk itu! Hari pertama Ammar balik tersangatlah lapar, kerana Ammar tak sempat makan pun! Mengapa tak makan, anakku? Kalau tak makan, mana dapat tenaga. Dah tentu tak bermaya dan kelihatan letih sepanjang hari! Betul, utamakan solat tetapi pastikan sempat untuk makan!

Ketiga, Ammar terkejut dengan pendedahan yang diberikan..., terlalu luas rupanya! Susah betul kerja doktor ni! Belajar pun susah! Mesti terer betul-betul Biologi! Ammar kata, Ammar bukan pandai sangat Biologi. Ammar fikir, ilmu Biologi ini terlalu besar dan luas untuk Ammar cakupi! Ammar rasa Ammar tak mampu nak belajar sebanyak itu! Ammar...., Ammar belum lagi belajar, Ammar baru lihat sahaja, semua orang sama! Siapakah yang pergi pendedahan itu lebih terer daripada Ammar? Paling tinggi mereka hanya 10A1! Mereka pun lebih kurang sama dengan pengetahuan yang Ammar miliki. Apa nak dirisaukan? Belajar nanti, bukan terus mesti tahu semua, mestilah peringkat demi peringkat! Tanyalah bagaimana Kak Yong belajar! Sekurang-kurangnya Ammar dah dapat satu gambaran kerjaya sebagai seorang doktor. Pengalaman ini amat berharga sebenarnya bagi seorang pelajar macam Ammar! Mana kerja yang tidak susah belajar? Jurutera? Arkitek? Akauntan, mahupun guru, mesti kena belajar banyak dulu!

Keempat, Mungkin salah Ummi, Ammar dan Muaz sakit perut sebab makan nasi goreng yang Ummi buat! Pedas sangat kot atau mungkin nasi dah tercemar! Kedua-dua asyik berulang ke bilik air! Ummi pun naik risau. Ummi beli 100Plus, Muaz minum. Cadang nak bawa klinik, tapi nampak beransur okey. Ammar yang paling Ummi risau. Kesian anakku, Udahlah tension dengan jadual, terpaksa berulang ke bilik air dengan perut yang kosong tak berisi! Tabah dan sabarlah. Ummi simpati dan sentiasa berdoa agar Ammar selesa dan selamat!
Inilah antara sebab-sebab yang terlalu menekan Ammar! Bagi mengurangkan tekanan itu, spontan keluar dari mulut Ummi, "Abih.., Ammar nak Muaz jadi apa? Okeylah..., biar muaz jadi ulamak, InsyaAllah!"
"Ammar yang nak jadi ulamak, Muaz jadi doktor!"
"Pulak!"

Ammar, sebenarnya memang Ummi nak semua anak lelaki Ummi jadi ulamak, tapi ulamak yang profesional! Ulamak yang tinggi ilmunya! Ulamak yang sempurna dan lengkap ilmu dunia akhiratnya! Ummi amat meletakkan kesempurnaan ilmu itu adalah gandingan ilmu dunia dan akhirat! Lihat dan contohilah Kak Yong di USIM! Walaupun dia belajar doktor, tapi Bahasa Arab dan Syari'ah tetap dipelajari! Tambah hafaz surah lagi! Malah harapan Ummi, kalau Ammar dapat peluang belajar doktor di Timur Tengah, sudah tentulah BA Ammar mantap! Ammar boleh pula teruskan tahfiz Ammar! Di samping itu, Ammar boleh tambahkan ilmu agama Ammar dengan pengalaman berada di bumi para ambia. Malah kalau Ammar rasa kurang, Ammar boleh sambung lagi selepas jadi doktor nanti! Ummi tahu Ammar hebat! Ammar bakal jadi doktor yang hebat! Di dunia kita hebat, di akhirat juga kita hebat dengan kasih sayang dan rahmat Allah! Ummi amat yakin, doa Ummi semasa di Mekah mahukan anak lengkap dengan ilmu dunia dan akhirat pasti direstuiNya, kerana Ummi ikhlas untuk membawa anak-anak ke alam yang kekal abadi kelak!

Memang inilah cita-cita dan impian Ummi untuk anak-anak! Sedari awal lagi Ummi dan Ayah telah meletakkan kewajiban besar kami memberi ilmu agama kepada anak-anak! Biar orang lain menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang hebat (MRSM maupun SBP)! Pada peringkat awalnya, Ummi tetap hantar anak Ummi hanya ke SMKA sahaja kerana Ummi dan Ayah percaya, kalau kita ikhlas mahu anak berjaya menjurus ke akhirat, InsyaAllah Allah pasti beri. Dengan bersekolah agama, sekurang-kurangnya anak Ummi mendapat asas BA dan ada fikrah agama. Sekurang-kurang boleh baca Al-Qur'an dan faham maksudnya! Lebih-lebih lagi anak lelaki. Lelaki akan pimpin keluarga, masyarakat maupun negara.

Tapi Ummi sedar, Ummi hanya boleh berangan-angan dan bercita-cita sedemikian, realitinya tetap bergantung dengan usaha dan pilihan masa depan anak-anak Ummi. Walau setinggi manapun impian Ummi, jika anak-anak tidak belajar dan berusaha sungguh-sungguh, manakan boleh tercapai! Alhamdulillah, dua anak Ummi sudah buktikan, malahan lebih cemerlang daripada orang lain yang hebat-hebat dulunya! Ammar dah dapat peluang! Begitu juga Kak Yong! Mengapa perlu dibiarkan peluang itu? Kak Yong dan Ammar telah mendahului peluang itu! Ummi memang mengharap adik-adik (Anas, Aisyah dan Muaz), tapi belum tentu dan pasti lagi kerana semuanya bergantung dengan usaha serta kesungguhan mereka!

Rebut dan raihlah peluang ini! Ammar pilihlah yang terbaik sesuai dengan minat dan cita-cita Ammar! Ummi tahu, sebenarnya inilah pilihan Ammar yang tepat tetapi Ammar takut, risau dan bimbang dengan kemampuan Ammar. Yakinlah anakku, bahawa kamu mampu hadapinya!

Alhamdulillah, akhirnya selesai pun lima hari Ammar ikuti program pendedahan tu. Ammar dapat pula temuduga pada 1 April! Ammar layak daripada 15,084 pelajar cemerlang yang memohon! Ini satu peluang walaupun Ammar terpaksa hadapi satu lagi dugaan! Ummi tak mahu ulas bab dugaan temuduga ini kerana Ammar sendiri dah posting di blog Ammar! Tapi, adakah dengan dugaan ini, Ammar masih lagi ragu-ragu? Apa pun Ummi berharap Ammar tidak ragu-ragu lagi dan sentiasa berdoa agar Ammar berjaya dalam temuduga yang memerlukan hanya 2000 orang sahaja daripada 8,363 yang dipanggil! Ummi sebenarnya pasti, Ammar sudah lama yakin dengan pilihan Ammar kerana Ammar telah jadikan Kak Yong sebagai penggerak setiap kejayaan Ammar! Ammar juga amat mengharapkan kejayaan dalam temuduga itu! Mudah-mudahan Allah makbulkan doa Ammar, Ummi, Ayah, kedua-dua Atok dan Opah yang terlalu bangga dengan pencapaian cucu-cucunya!

Comments

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI