Selamat datang dan salam sejahtera...!
Semoga aura haruman kasturi dari Raudah Firdausi sentiasa bersama kita...

Friday, May 14, 2010

Laman Sosial Peribadi...???

“Siapa bernama Najwa dalam kelas ini?” Mataku melirik ke arah wajah-wajah murid 4 Inovatif meminta kepastian. Kulewati pandangan mereka dari pintu masuk kelas.

“Saya. Cikgu”. Kutenung wajah murid yang menyahut. Tampak ceria dan cergas murid itu.

“Sahlah..., ini budaknya!”, bisik hatiku.

“Oo... kamu..., mari ke mari!”

“Kenapa Cikgu?” Kelihatan murid ini kerisauan, menyoalku kembali.

“Kamukah yang add dengan facebook Cikgu?”

“Ya, sayalah..., Cikgu!” Bangganya dia kerana disangka punyai kelebihan.

“Bagus, dah pandai guna internet. Tapi, jangan leka sampai tidak siap kerja sekolah...! Satu lagi, guna internet untuk kebaikan, jangan disalahgunakan”. Aku memberi pengukuhan sebelum memulakan teguran yang bakalku luahkan.

“Kamu faham maksud saya?” Aku cuba mengujinya mencari fokus perbicaraan. Dia menggelengkan kepala, tanda tidak faham. Betullah..., dia baru darjah empat, baru sepuluh tahun, lebih baik aku berterus terang sahaja dengannya...!

“Bukankah kamu yang menulis ayat ................... mengutuk Cikgu Hamdan dalam facebook?” Najwa terkedu..., mungkin tidak menyangka soalan cepumas aku, tetapi perlahan-lahan menggangguk, mengakuinya.

“Betul atau tidak? Betul ke kamu yang menulisnya?” Soalku lagi meminta kepastian.

“Ya, betul Cikgu!”

“Najwa..., kamu tahu tak apabila kamu tulis sesuatu yang tidak elok di dinding facebook tu, satu dunia mengetahuinya! Semua orang membacanya, termasuk cikgu yang kamu kutuk tu....! Cikgu terpaksa menegur kamu supaya kamu tidak lakukan lagi. Itu akhlak yang tidak baik. Walaubagaimana marah sekalipun pada cikgu, jangan diluahkan dalam facebook! Kamu telah merosakkan maruah cikgu tu, dan sebenarnya kamu rosakkan maruah kamu sendiri...! Facebook bukan tempat kita suka hati mengeluarkan rasa hati. Jangan fikir seronok je, nak tulis apa saja yang disukai...” Panjang lebar teguranku. Kuharapkan murid ini faham dan tidak mengulanginya lagi. Najwa tunduk mengangguk.

"Lain kali, jangan lakukan lagi, jangan tulis perkara negatif dalam facebook kamu!" Aku meneguhkannya supaya Najwa jelas dengan teguran itu. Anggukan Najwa menyakinkanku. Kubenarkan Najwa kembali ke tempat duduknya setelah memintanya memohon maaf kepada guru terbabit.

Kisah ini adalah antara akibat daripada penyalahgunaan aplikasi facebook yang tidak dan kurang difahami oleh penggunanya. Kisah di atas sesuailah terjadi kerana kelemahan minda murid sepuluh tahun, tetapi apalagi yang perlu aku katakan apabila seorang guru telah memberitahu bahawa beliau menjadikan laman facebooknya sebagai laman sosial peribadinya...??? Beliau tidak membenarkan murid-muridnya menjadi rakan kerana meletakkan status peribadi!

Sebagai guru juga..., aku berfikiran di sebaliknya...! Sebagaimana kita bertungkus lumus memastikan murid berjaya dan faham dengan ilmu yang kita beri, sebegitulah yang kita mahu murid tahu dan faham tentang kehidupan. Kita bukan hanya mahu murid kita faham dan tahu di bilik darjah, malah kita mahu murid mengamali dalam kehidupannya. Salah satu caranya ialah dengan pentarbiahan secara terus di luar melalui komunikasi dan penampilan gurunya.

Pendidikan mesti berterusan dan pendidikan bersifat sejagat...! Tidak rugi kita menyambung didikan kerana bagiku, murid-murid ialah anak-anakku..., anak-anakku adalah murid-murid...! Setiap masa mereka perlu diajar dan dididik...! Setiap kesalahan yang dilakukan mesti dibetulkan..., walaupun di luar persekolahan tetapi hendaklah secara berhikmah...! Tanggungjawab seorang guru tidak terpadam apabila berada di luar, kerana kejayaan mendidik itu dibuktikan dengan sahsiah dan akhlak mulia muridnya di mana sahaja. Bangganya seorang guru apabila muridnya berjaya dengan cemerlang..., yang semestinya bagiku cemerlang juga di akhirat...!

Betul..., katanya beliau tidak mahu maklumat di facebooknya dikongsi bersama murid yang tidak berkualiti dengan bahasa dan ayat-ayat budak..., tapi betulkah ayat-ayat kita sendiripun berkualiti??? Betulkah kita menulis secara berhemah? Betullah... ayat, gambar atau kisah kita tidak dibaca oleh murid..., tetapi betulkah dan bolehkah kita membiarkan kesemua rakan membaca ayat-ayat kita yang yang ditulis tanpa tapisan...! Betulkah laman sosial bersifat peribadi? Bagiku “laman sosial” dan “peribadi” mempunyai maksud tersirat yang amat berbeza sekali antara keduanya!

Betul, kita perlukan privasi...! Tetapi, apakah maksud sosial...? Apa maksud peribadi...? Kalau kita perlukan privasi, kita tidak perlu guna facebook kerana pemahamanku, facebook bukannya satu laman peribadi apabila penulisannya boleh dibaca oleh semua orang. Apabila disebut laman sosial, sudah tentulah laman ini bukan lagi peribadi. Kalau mahu peribadi, sepatutnya kita perlu setkannya atau privasikan untuk diri kita dan orang tertentu sahaja...! Kalau mahu begitu, lebih baik kita guna e-mel dengan Yahoo Messenger atau Skype saja...!

Fungsi facebook, menurut pemahamanku yang cetek ini adalah untuk menyambung persahabatan, bertukar-tukar pendapat, pandangan dan sebenarnya bagiku adalah untuk motivasi ataupun sebagai wadah dakwah...! Berapa banyak laman-laman web, termasuk blog maupun facebook alim ulama yang mengesahkan penyertaan hubungan beribu-ribu rakan termasuk dari pelbagai bangsa bagi menyampaikan mesej agama...!

Apabila kita menulis atau mengeluarkan pendapat, sepatutnya boleh dikongsi oleh semua orang yang menjadi sahabat kita. Kalau kita rasa tidak mahu berkongsi, jangan ditulis...! Tanpa disedari, akibat daripada keterujaan mengaplikasikan laman-laman web ini, kita terleka dengan rasa dan emosi kita. Kita lupa kesan dan akibat kelekaan perasaan kita! Jangan difikir, kita hanya berhadapan dengan komputer sahaja, tetapi sebenarnya kita berhadapan dengan semua orang di seluruh dunia samada rakan lama, semasa maupun rakan yang baru dikenali.

Kalau dianggap peribadi, sesuaikah gambar-gambar tidak berakhlak, cerita-cerita negatif diri sendiri atau luahan-luahan perasaan suami isteri diketahui oleh semua orang??? Memang..., ada yang boleh dikongsi, tetapi banyak yang tidak perlu dikongsi...!!! Patutkah yang tidak perlu dikongsi itu, kita tulis dan luahkan di laman sosial yang dikatakan peribadi??? Mungkinkah dengan anggapan peribadi inilah yang menyebabkan banyak laman terutama blog yang ditulis terlalu kesat, kotor, lucah, dan tidak bermaruah bahasanya...!

Bagiku, laman facebook ataupun laman blog merupakan laman sosial yang bukan peribadi tetapi..., akan melambangkan peribadi penulisnya! "Bukti akal fikiran seseorang ialah perbuatannya, dan bukti ilmunya ialah ucapannya." Pemikirannya melambangkan sahsiah, penulisan lambang pengetahuannya! Berhati-hatilah..., dan berfikirlah apabila bersedia untuk menulis dan memberikan pendapat.... Semoga tulisan kita memberi manfaat, dan tidak merosakkan maruah kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Semoga tulisan-tulisan kita diberkati.....!!!

1 comment:

Ummul Kasturi said...

Facebook, Myspace, Tagged, Hi5, Twitter, Freindster, eKawan termasuk BLOG adalah LAMAN SOSIAL yang BUKAN bersifat peribadi..., BOLEH DIBACA OLEH SEMUA ORANG...! Cerita dan catatan di atas sekadar PENDAPAT dan peringatan, tiada kaitan dengan sesiapa dan ingin dikongsi oleh Penulis KERANA kegilaan dan kelekaan kita terhadap laman-laman sosial ini akan menjurus pelbagai masalah sosial yang lain. Sila klik http://cucumatkilau.blogspot.com/2010/05/awasi-anak-dan-isteri-anda-dari-laman_05.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...