Secebis Kenangan Bersama Amirul Haikal

"Ummi, ada tak anak murid Ummi tahun lepas bernama Haikal?" tanya Anas tatkala aku duduk keletihan , baru pulang dari kuliah!

"Haikal? Ramai murid Ummi yang bernama Haikal."

Kotak fikiranku mula bekerja mencari nama-nama murid tahun lepas.

"Amirul Haikal bin Ahmad Badri, Ya... Ya... Murid Ummi Enam Mawar tahun lepas!"

Terus aku terbayangkan wajahnya yang sedikit tembam. Aku biasa memanggilnya dengan Amirul sahaja. Aku rasa, dialah yang paling dicemburi oleh rakan-rakannya termasuk anakku sendiri, Aisyah. Menurut mereka, Amirul Haikal murid Tahun 6 Mawar kesayangan Cikgu Masitah! Ah... tak kisahlah apapun tanggapan mereka, sedangkan bukan begitu sikap dan niatku terhadap semua murid-murid. Yang pasti, sebagai guru aku laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab!

Mengimbau kenangan meniti hari bersama murid bernama Amirul Haikal, aku begitu tegar dengan dialog yang menjadi permulaan memori yang tidak akan luput dari ingatanku!

Teringat kata-katanya,"Cikgu, cikgu tak nak buat baju ke? Mak saya pandai jahit baju!

"O...o... ye ke? Boleh jugak. Mak kamu boleh jahit jubah ke?"

"Boleh, macam-macam fesyen boleh cikgu! Kalau cikgu nak bubuh labuci atau manik-manik pun mak saya boleh tolong jahitkan!"

Beria benar Amirul mempromo kemahiran ibunya. Aku tidaklah ambil kisah sangat tentang pelawaannya itu kerana tiada kain yang baru dibeli untuk dibuat baju! Selang seminggu, Amirul bertanya lagi, kali ini seakan mendesak!

"Cikgu, hantarlah baju kepada emak saya. Kalau cikgu hantar, bolehlah upah jahit tu saya bayar yuran tution!" Ya... Memang pun, sudah dua bulan yuran tution PIBGnya tertunggak!

"Mengapa pulak tunggu upah jahit baru nak bayar yuran tution? Bukan ke dah hujung bulan ni, bapa kamu sudah tentu dah dapat gaji!" Aku hairan dengan rayuan Amirul.

"Cikgu, ayah saya baru saja berhenti kerja! Sudah dua bulan. Sekarang ni, kami bergantung dengan upah jahit mak saya! Ayah baru aje nak mula berniaga. Nanti Cikgu datanglah ke gerai ayah, makan mee rebus!"

Terkedu seketika apabila mendengar penjelasan Amirul. Bagusnya budak ni, baru 12 tahun sudah tahu dan memahami masalah keluarga! Bagaimana murid sekecil ini sudah rasa tanggungjawab terhadap keluarga, ingin membantu ibunya menambah pendapatan!

Lantas tanpa berfikir, aku terus memberi pengakuan ingin pergi ke rumahnya selewat-lewat hujung minggu nanti. Sebenarnya, kain baru pun belum dibeli lagi untuk ditempah. Demi mengambil hati dan merasa amat kagum dengan ketulusan murid ini, aku tidak patut memberikan alasan!

Sejak hari itu, murid bernama Amirul Haikal ini sentiasa mendapat perhatianku. Kadang-kadang aku lihat dia tidak keluar pada waktu rehat untuk makan.

"Mengapa kamu tidak keluar makan?"

"Saya dah makan di rumah tadi cikgu, masih kenyang lagi!

"Habis, tution karang macamana,. Tak lapar ke?"

"Saya balik ke rumah makan nasi. Mak saya dah siap masak!"

"Sempat ke, Letih le ulang alik naik basikal!"

"Tak lah Cikgu, saya dah biasa!"

Sengaja aku bertanya, sekadar untuk menguji! Ternyata murid ini berjiwa kental. Cekal menerima realiti hidup! Memahami kesusahan keluarga! Payah hendak berjumpa dengan budak sebegini di tengah-tengah masyarakat profesional di Bandaraya Ipoh ini!

Kadang-kadang dia tidak balik makan, rupa-rupanya dia bawa bekalan. Pada Hari Jumaat, dialah yang membantu aku menyusun, mengemas, menghantar buku-buku atau alatan ke bilik guru.

"Cikgu, ada apa-apa lagi saya boleh tolong?" Tanya Amirul sambil mengesat peluh yang menitik-nitik dari mukanya. Nampak kepenatan selepas menghantar buku.

"Tak ada, terima kasih Amirul," sambil menyambut tangan yang dihulurkannya dan sudah menjadi kebiasaanku, sebelah tangan terus menyapu kepala setiap murid yang menyalamiku. Aku begitu mengharap ilmu yang diberi terus mengalir meresap ke ubun-ubun muridku dengan penuh keberkatan dan rahmat Allah!

Suatu hari, Amirul tidak hadir ke sekolah. Aku ambil peluang ini, memuji dan menyatakan kelebihannya kepada murid-murid sekelas. Walaupun tidak secantik dan sekemas tulisan murid perempuan, dia rajin dan cepat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan! Aku juga selalu berikan contoh sikap dan nilai positif yang ditunjuk oleh Amirul. Tujuanku adalah untuk memotivasikan murid-murid lain terutamanya Haziq Mirza yang begitu terkenal dalam kelas 6M'09 dan, aku tahu ada murid yang cemburu apabila aku memuji Amirul termasuk Aisyah! Biar..., biarkan..., moga-moga dengan cemburu itu bisa menggerakkan mereka untuk menjadi lebih baik!

Hari peperiksaaan UPSR begitu mendebarkan! Sehari sebelum bermula, kami guru Bahasa Melayu cuba membantu murid membuat ulangkaji dan ramalan soalan. Walaupun terpaksa menjalani peperiksaan dalam bulan puasa, tapi tampak murid-muridku amat bersemangat...! Ternyata semua murid sudah bersedia untuk menjawab soalan! AlhamdulilLah, inilah berkat bimbingan dan didikan yang guru-guru SKJ curahkan...! Begitulah hari-hari seterusnya. Murid-murid tidak terus pulang kerana guru-guru akan memberikan input terkini.

Hari kedua UPSR, petang Rabu selepas peperiksaan Matematik Kertas 1, semasa Pn. Eisyah dan Pn. Shamsidar memberikan input terkini Bahasa Inggeris, seorang murid memberitahu hidung Amirul berdarah banyak. Kelihatan wajahnya pucat! En. Din, YDP PIBG menghantarnya pulang ke rumah.

Lebih kurang pukul 3.30 petang, aku diberitahu Amirul telah dimasukkan ke wad kecemasan saspek penyakit Luekiemia. MasyaAllah! Terkejutnya aku kerana selama ini, tidak nampak satu pun simpton yang menunjukkan dia berpenyakit! Sememangnya inilah takdir untuknya semasa menghadapi peperiksaan, baru tahu ada penyakit serius! Kesiannya dia, esok ada tiga lagi kertas peperiksaan iaitu Sains, Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2! Tapi, apa pun kesihatannya lebih penting!

Semasa melawatnya, kelihatan dia begitu ceria menanti kedatangan kami cikgu-cikgu SKJ meskipun nampak lemah dan pucat! Kata ibunya, dia masih mahu mengambil peperiksaan walaupun berselirat wayar di badannya! Besok, petang dia akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjalani beberapa ujian darah dan diberikan rawatan rapi! Tabah betul budak ini! Aku bisikkan kata-kata semangat ke telinganya! "Allah pilih Amirul, kerana Allah tahu Amirul kuat. Amirul mesti kuat semangat. Jangan mengalah dan sedih. Amirul mesti ceria!"

Aku berpesan kepadanya, "jangan rasa kesal dengan ujian ini, terimalah dengan redha kerana Allah tahu Amirul mampu menghadapinya! Cikgu sentiasa doakan Amirul sihat sejahtera dan kembali semula ke sekolah!"

Melihat kemerahan mata ibu dan ayahnya, terasa sebak hati tetapi aku tetap menahan air mata daripada menitik di depannya! Bersabarlah, redha dan tabahlah menerima takdir ini walaupun aku tahu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya!

Sejak hari itu, Amirul tidak lagi dapat hadir ke sekolah. Rumahnya banyak di hospital. Pelbagai rawatan yang terpaksa dipatuhi. Dua minggu selepas itu, aku dan guru-guru tahun 6 pergi menziarahinya. Memberi sedikit sumbangan daripada murid-murid dan guru-guru Tahun 6. Kelihatan dia begitu ceria menyambut kedatangan kami walaupun terpaksa memakai penutup mulut. Dia dinasihatkan doktor tidak boleh berada dalam kumpulan orang ramai.

Selang dua minggu, aku pergi lagi kerana ibunya memanggil supaya aku mengambil baju yang ditempah. Aku fikir, biarlah... Mungkin ibu Amirul tidak sempat masa untuk menjahitnya, tetapi terkejut juga apabila diminta datang mengambilnya! Elok juga, dapatlah aku bersedekah sedikit duit raya kepada Amirul.

Hari keputusan UPSR, Amirul dan keluarganya datang ke sekolah. Seramai 32 orang murid SKJ mendapat 5A! 30 orang dari 6 Teratai dan 2 orang dari 6 Mawar! Alhamdulillah, Amirul dapat 1A4B dan ucap tahniah kepada Aisyah dan Haziq Mirza yang dapat 5A! Semua kawan-kawannya mengerumuni Amirul. Aku tidak sempat bercakap panjang dengannya kerana sibuk dengan ibubapa dan analisis UPSR.

Hari-hari berlalu, aku seakan terlupa akibat kesibukan belajar dan mengajar! Kadang-kadang teringat ingin menziarahinya tetapi masa tidak mengizinkan! Ada kain baru hendak ditempah, tapi bimbang ibunya tiada kesempatan untuk menjahit. Sehinggalah pada tanggal 1 Jun 2009, apabila ditanya Anas..., aku rasa aku mesti bersedia dengan berita yang hendak diberitahu oleh Anas!

"Ummi, Puan Puteri telefon kat rumah tadi beritahu, murid Ummi yang bernama Haikal telah meninggal dunia pada pukul 4.00 petang tadi."

"InnaliLLahi wainnaliLLahi rajiun, dari Allah dia datang, kepada Allah dia kembali!" Rupanya, telah tiba masa Allah menjemputnya!

Lantas aku terus menelefon Ustazah Sophiatun dan dia mengesahnya. Dia menunggu aku menziarahi jenazah. Aku berjanji selepas maghrib kerana sewaktu pengkebumian esok aku kuliah dan tidak boleh hadir.

Sesampai aku disambut ibunya. Aku ucapkan takziah dan bersabarlah menerima takdir ini. Allah lebih sayangkannya. Lebih baik dia pergi daripada menanggung sakit yang kita tidak tahu peritnya! Selesai membaca Surah Yasin, kubuka penutup muka sekujur tubuh. Alangkah sejuknya hati, apabila kulihat Amirul tersenyum dalam tidurnya! Kuusap muka dan kepalanya seperti mana dia menyalami aku dulu!

"Pergilah anak muridku... Pergilah dulu menemui Allah... Kami semua akan menyusulimu... Berbahagialah di Syurga yang menantimu!"

Tanpaku sedari, menitik juga airmata semasa mendoakan kebahagiaan Amirul. Kini, kenangan sebagai guru Amirul Haikal menjadikan aku sentiasa insaf dan amat prihatin terhadap masalah peribadi murid yang mungkin boleh mempengaruhi pembelajaran mereka. Semoga Amirul Haikal ditempatkan dalam golongan yang mendapat rahmat Allah! Amin... Amin... Amin... Ya Rabbal'alamin!


Comments

Anonymous said…
SEMOGA ALLAH MERHMATI ARWAH HAIQAL...
Anonymous said…
TERIMA KASIH ATAS CORETAN KENANGAN CIKGU ... ARWAH MENINGGAL BETUL BETUL SEMASA AZAN ZUHUR BEKUMANDANG DI MASJID SEBELAH HOSPITAL ... KAMI SEKELUARGA BERTERIMA KASIH ATAS SEGALA JASA DAN BAKTI CIKGU MENDIDIK ARWAH.. SEMOGA ROHNYA DIRAHMATI... AMIN..
Anonymous said…
YA ALLAH KAU RAHMATILAH ROHNYA..
AMIN...
azhar ramadhan said…
Assalamualaikum...

saye sedih bace artikel nie....
jike saye dpt prgi menziarahi jenazah nyer....
ttpi saye x sempat...saye dpt tahu 1 hari slepas pengebumian jenazah arwah...

moga2 ALLAH meletakkan dia bersama-sama org2 yg soleh...AMIN...
adham 6T'08 said…
assalamualaikum,cikgu!!
apabila membaca artikel ni,kesedihan telah menyelubungi diri saya.
amirul haikal,satu nama yang tidak dapat saya lupakan.biarpun tidak serapat mana,tetapi pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar.
dia begitu baik dengan saya.tetapi tidak mengapa.Allah lebih menyanginya.
saya masih mendalami ilmu agama dari seorang senior di sekolah.katanya,seorang yang meninggal dalam keadaan beriman yang hanya sebesar zarah,maka,Allah beli imannya dengan syurga yang besarnya 10 kali ganda dunia.Subhanallah!!1 dunia mempunyai 7 langit.beza langit pertama dengan langit kedua diibaratkan seperti sebiji sagu diatas dulang yang besar.begitulah perbezaan langit-langit yang seterusnya.Allahuakbar!
Mudah-mudahan amirul haikal berada bersama orang-orang yang beriman.
Amin!
Anonymous said…
X jemu membaca post ini. Dan setiap kali membaca post ini pasti menitiskan air mata, terima kasih ummi atas nasihat dan peringatan.
sedihnya hati bila mendengar kisah ini. andai masih ada, dah form 3 agaknya. mungkin sebaya anak sulung saya. usia semuda itu sudah mampu memberi pengajaran & keinsafan yg mendalam buat kita yg dewasa ini. Alfatihah buat Amirul haikal... nama anak saya juga amirul.
sangat tersentuh,,
semoga beliau ditempatkan dalam golongan yang beriman....

mungkin sedikit semangatnya dan cara hidup keluarganya.. saya lalui... mengambil iktibar dari entri ini...
alongxp said…
seriusly...sebak...bukan sebak lagi... air mata ni dah nak mengalir...tapi ditahan2...

Popular posts from this blog

TERIMA KASIH, YA ALLAH!

Terima Kasih Mak...!!! Saya Saayaaaang Mak...!!!

JEJAK MURABBI